KUALA TERENGGANU, 16 Mac (Bernama) -- Orang ramai digesa membuat laporan polis sekiranya mengetahui tentang mana-mana agamawan atau guru agama yang melakukan jenayah atau bertindak melanggar undang-undang bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ia juga untuk membolehkan penggantungan atau penarikan semula tauliah mereka sekiranya disabitkan bersalah atas sesuatu jenayah.
“Sekiranya golongan ini menyalahgunakan ilmu dan kepercayaan masyarakat … kalau timbul isu jenayah dan sebagainya saya harap masyarakat buat laporan. Saya percaya polis akan jalankan siasatan secara adil.
“Sudah tentu (tauliah) wajar digantung kalau didapati bersalah. Sebab itu saya harap masyarakat buat laporan sebab kita nak sabitkan … kalau nak tarik (tauliah) tanpa sabitan ia sukar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai insiden seorang agamawan atau guru yang terkait dengan kes mencederakan seorang remaja lelaki di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Na’im sekali lagi menyeru agar produksi dan pengamal media untuk mematuhi Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada 2015.
“Tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah mendidik dan mengeluarkan garis panduan. Ia (garis panduan) diserahkan kepada pengamal dan produksi media untuk difahami bahawa bila nak buat drama, ada garis panduan yang perlu dipatuhi.
“Di pihak JAKIM dan agensi agama kita sentiasa berhubung. Kalau ada pelanggaran, JAKIM akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk memberikan maklumat,” katanya sebagai mengulas kontroversi drama bersiri ‘Bidaah’ yang sedang hangat diperkatakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial