KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengimbas kira-kira 1.42 juta kontena import termasuk sisa elektrik dan elektronik (e-waste) di Pelabuhan Barat tahun lepas, sekali gus mencerminkan keupayaan jabatan itu melaksanakan pengimbasan 100 peratus terhadap kontena memasuki pelabuhan tersebut.
JKDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua kontena diimbas menggunakan lima mesin pengimbas berkeupayaan tinggi yang beroperasi di pelabuhan itu.
“Secara purata, hanya 5,000 kontena sehari melalui mesin pengimbas bagi tujuan pelepasan import, manakala sebahagian besar kontena terlibat dengan aktiviti pindah kapal dan selebihnya berada di kawasan (yard) kontena sementara menunggu proses pengikraran oleh pengimport.
“Pemeriksaan fizikal pula dilakukan terhadap kontena disyaki membawa barang terlarang berdasarkan imej imbasan yang bercanggah dengan deskripsi dagangan diikrar selain setiap laluan trafik kontena dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantauan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, JKDM turut menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap dagangan e-waste bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), manakala pemeriksaan dagangan skrap dilakukan dengan kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dengan caj perkhidmatan antara RM500 dan RM700 oleh operator pelabuhan.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 348 daripada 389 kontena yang diperiksa dalam Operasi Khas e-waste disahkan sebagai dagangan e-waste dan diserahkan kepada JAS dalm tempoh Ogos 2024 hingga Febuari tahun ini.
Selain itu, terdapat juga kes pengimportan e-waste di pelabuhan Pulau Pinang melibatkan 26 kontena bagi tempoh Januari 2024 hingga Februari 2025.
“Semua kontena yang ditahan di pelabuhan telah diserahkan kepada JAS dan diarahkan untuk dieksport semula ke negara asal dengan kos penghantaran semula ditanggung oleh pengimport,” menurut kenyataan itu.
Mengenai pengimportan senjata api, JKDM memaklumkan perkara itu tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan hanya dibenarkan jika pengimport memiliki lesen import yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Polis mengikut Akta Senjata 1960 (Akta 206).
“Penemuan kes kelongsong peluru, anak peluru, sisa amunisi dan peluru hidup tidak boleh ditakrifkan sebagai senjata. Sekiranya terdapat keraguan terhadap kemasukan kontena mengandungi senjata api, pemeriksaan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilakukan dan barang tersebut akan diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
“Kelongsong peluru (bukan dalam keadaan asal), anak peluru (bukan dalam keadaan asal) dan sisa amunisi diklasifikasikan sebagai copper scrap, dan pengimportannya adalah tertakluk kepada kelulusan pihak SIRIM,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial