WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TEO NIE CHING DIPILIH SEBAGAI NAIB PENGERUSI DAP

16/03/2025 09:32 PM

SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Naib Pengerusi DAP yang baharu dalam kepimpinan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bagi penggal 2025-2028.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika mengumumkan barisan kepimpinan baharu itu berkata pemilihan Teo berdasarkan jumlah undian yang diraih beliau pada pemilihan 30 ahli CEC hari ini yang diadakan sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal di sini. 

Pada penggal 2022-2025, Teo yang juga Ketua Wanita DAP memegang jawatan sebagai Setiausaha Publisiti Kebangsaan. 

Selain Teo, turut mendapat mandat memegang jawatan penting ialah bekas Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung. 

Turut mengisi senarai barisan kepimpinan pusat ialah Timbalan Ketua Wanita DAP Yeo Bee Yin yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan manakala Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dilantik sebagai Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan.

DAP juga memberi kepercayaan kepada bekas Ahli Parlimen Batu Kawan P. Kasthuriraani untuk memegang jawatan Setiausaha Antarabangsa manakala Ahli Parlimen Lanang yang juga Timbalan  Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng sebagai Penolong Setiausaha Antarabangsa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee pula dilantik menjawat jawatan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa DAP, Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya Liow Cai Tung antara tiga individu yang dipilih. 

Terdahulu, dalam pemilihan CEC hari ini, Teo antara sembilan wanita yang mendapat undi tertinggi bagi melengkapi senarai 30 ahli CEC.

Beliau meraih 2,585 undi; diiikuti Yeo (2,503); Vivian (2,244) dan Hannah (2,169).

Turut mendapat undi tertinggi pada pemilihan membabitkan seramai 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan itu ialah Alice Lau (2,165); Liow (2,139); Young Syefura (1,943) dan Kasthuriraani (1,722); dan Wong (1,655).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan