WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAKSANA HAD TEMPOH JAWATAN PM PERLU ILTIZAM POLITIK KUAT SEMUA PIHAK - AMK

17/03/2025 12:19 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Usaha merealisasi cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun memerlukan iltizam politik yang kuat daripada semua pihak, termasuk blok pembangkang, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata had tempoh itu dilihat akan menghalang tindakan penyalahgunaan kuasa, mengukuhkan integriti pentadbiran dan memastikan kepimpinan negara sentiasa segar dengan idea baharu. 

“Reformasi ini memerlukan iltizam politik yang kuat. Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen dan seharusnya semua pihak, termasuk pembangkang perlu bersama menjayakannya.  

“Jika ini direalisasikan, Kerajaan MADANI akan terpahat dalam sejarah sebagai kerajaan yang berani membawa perubahan. Inilah reformasi sebenar, inilah politik masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata AMK kekal berdiri teguh di belakang usaha Kerajaan MADANI untuk melangkah ke hadapan dengan agenda reformasi dan komitmen untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, selaras dengan prinsip tatakelola baik serta amanah rakyat.

Adam Adli berkata cadangan itu bukan perkara baharu kerana ia janji Pakatan Harapan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menegaskan Kerajaan MADANI memegang janji melaksana agenda reformasi, termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan