WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YBR SALUR BANTUAN KEPADA 90 ANAK YATIM, IBU TUNGGAL DAN ASNAF DI SEPANG

16/03/2025 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan khas berjumlah RM24,400 kepada 90 anak yatim, ibu tunggal dan asnaf di sekitar Sepang bersempena Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata bantuan berkenaan adalah tanda prihatin kepada mereka yang kurang bernasib yang dikenal pasti menerusi Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Masjid Kuarters KLIA.

“YBR cakna dengan kekangan yang dihadapi dan berharap bantuan yang diberikan menjadi medium dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta memberi sinar keceriaan di bulan Ramadan dan juga sebagai persiapan dalam menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis penyerahan bantuan disempurnakan Syaiful Rizal dan turut dihadiri Pengurus Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Syaiful Rizal juga berharap bantuan yang disalurkan dapat memberikan sedikit kelegaan serta membantu dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan puasa ini. 

“Semoga lebih banyak program-program sebegini dapat diadakan dan sekali gus merapatkan lagi ukhuwah di antara organisasi luar dengan masyarakat di Sepang ini.

 “YBR amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim, asnaf dan ibu tunggal yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar dan YBR akan sentiasa berusaha untuk memperbanyak lagi bantuan-bantuan yang seumpamanya,” katanya.

Syaiful Rizal berharap bantuan yang disalurkan YBR turut menjadi pemangkin kepada organisasi lain untuk turut sama menyantuni mereka yang tidak bernasib baik dalam mengharungi kehidupan dan ekonomi yang semakin mencabar.

Pada 2024, YBR memperuntukkan hampir RM600,000 bagi pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutamanya daripada kalangan B40.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan