WILAYAH - TENGAH > BERITA

PERNAS SANTUNI ANAK ASNAF, YATIM MENERUSI PROGRAM CSR SINAR RAMADAN

17/03/2025 12:42 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menyantuni 60 anak asnaf dan yatim dari Madrasah Tahfiz Al-Quran Al Ukhuwwah menerusi pemberian duit raya serta sumbangan bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

PERNAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan berjumlah RM25,000 merupakan peruntukan daripada Zakat Wakalah dengan pemberian diserahkan pada Program Sinar Ramadan: Majlis Iftar dan Program CSR (tanggungjawab sosial korporat) 2025 di Bangsar di sini baru-baru ini. 

“Inisiatif Program CSR Sinar Ramadan ini sebagai tanda keprihatinan syarikat untuk membantu golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut kedatangan Syawal,” menurut kenyataan itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah dalam kenyataan sama berkata syarikat itu komited melaksanakan program CSR menerusi tiga teras, iaitu keusahawanan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

Selain Program CSR Sinar Ramadan, PERNAS juga telah melaksanakan bantuan Back To School pada Februari, memanfaatkan 400 pelajar dari Parlimen Sungai Buloh.

“PERNAS telah merangka beberapa inisiatif CSR yang akan dilaksanakan termasuklah program menjurus ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan