WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHB KOMITED TANGANI AKTIVITI PENYELUDUPAN HIDUPAN LIAR DI KLIA

18/03/2025 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sentiasa komited untuk menangani penyeludupan hidupan liar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan dan kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, sebagai pengendali KLIA, MAHB berkata pasukan Keselamatan Penerbangannya (AVSEC) menumpukan kepada pencegahan aktiviti-aktiviti haram yang boleh membahayakan keselamatan penumpang dan pengangkutan udara.

"Walaupun sistem pengendalian bagasi kami direka untuk menumpukan kepada keutamaan keselamatan kritikal ini, MAHB kekal komited bagi memerangi penyeludupan hidupan liar melalui kerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan," katanya.

Pengendali lapangan terbang itu berkata ia telah bekerjasama dengan agensi-agensi penting termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Polis Diraja Malaysia.

"Mengetahui pentingnya pendekatan pelbagai agensi, Malaysia Airports secara aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan seperti TRAFFIC untuk meningkatkan kesedaran dan memperkukuh usaha antipenyeludupan," katanya.

Ia berkata kerjasama itu telah menghasilkan pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat dan saringan bagasi yang disasarkan untuk penerbangan berisiko tinggi.

MAHB berkata ia juga telah menyumbang sumber untuk memperkukuhkan keupayaan pengesanan, antaranya pada Jun 2024, ia menyumbang dua anjing pengesan Belgian Malinois K9 kepada PERHILITAN, yang dilatih untuk mengesan spesies terancam yang disenaraikan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), seperti gading gajah, tanduk badak, sisik tenggiling, ular, dan penyu.

Baru-baru ini, pihak penguatkuasaan mencatat kejayaan termasuk menyita lima Burung Sewah Tahu yang terancam bernilai RM65,000 di Terminal 2 KLIA dan mencegah cubaan menyeludup 4,386 Penyu Hidung Babi yang terancam yang disembunyikan dalam tujuh beg pakaian untuk penerbangan ke Hanoi.

Melalui langkah-langkah keselamatan yang ketat, kerjasama yang berdedikasi, dan penguatkuasaan yang proaktif, MAHB berkata ia terus memelihara integriti ekosistem penerbangan sambil memastikan keselamatan penumpang, hidupan liar, dan keselamatan negara.

Pada 13 Mac, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan MAHB untuk meningkatkan pemantauan dan saringan bagasi di KLIA bagi menangani penyeludupan hidupan liar susulan kenyataan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyatakan Malaysia telah menjadi negara transit untuk penyeludupan bahagian-bahagian hidupan liar yang bernilai tinggi.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan