WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EMPAT RDC DIBANGUNKAN DI SABAH, PERKASA KOMUNITI GUNA STI

17/03/2025 03:26 PM

LAHAD DATU, 17 Mac (Bernama) -- Sebanyak 20 Ruang Daya Cipta (RDC) yang memberi akses kepada komuniti terhadap kemudahan, peralatan dan fasiliti berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI) berjaya dibangunkan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovatif Malaysia (YIM) Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata daripada jumlah itu empat RDC dibangunkan di Sabah iaitu Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu dan tebaharu di Lahad Datu.

"RDC Lahad Datu yang terletak di Kolej Vokasional Lahad Datu siap dibina pada Disember tahun lepas dilengkapi dengan pelbagai peralatan serta aplikasi teknologi berkaitan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) komputer, mesin pencetak 3D, termasuk set studio digital.

"RDC Lahad Datu menjadi antara contoh konsep inovasi sosial diterjemahkan dalam bentuk fasiliti yang menyediakan akses kepada teknologi dan latihan kepada komuniti setempat," katanya kepada pemberita selepas melawat RDC itu di sini hari ini.

Beliau berkata penduduk di Lahad Datu kini berpeluang meneroka teknologi terkini seperti pencetak 3D, robotik dan dron serta memanfaatkan peralatan canggih bagi meningkatkan kemahiran dan daya cipta mereka.

"Pelancaran RDC Lahad Datu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan STIE dalam kalangan komuniti luar bandar di sini sekali gus memperluaskan inisiatif inovatif ini ke seluruh negeri," katanya lagi.

Sharmila berkata RDC merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dilaksanakan oleh YIM.

"Selain memberi peluang kepada masyarakat setempat terlibat dalam aktiviti inovasi, inisiatif ini juga membantu meningkatkan taraf hidup dan produktiviti masyarakat melalui cetusan idea inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata hingga kini terdapat 482 modul dijalankan melibatkan 11,000 peserta manakala jumlah pengunjung ke RDC sebanyak 13,500.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan