IPOH, 17 Mac (Bernama) -- Institusi pendidikan dipilih sebagai lokasi latihan pengurusan dan pengendalian krisis oleh pasukan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) kerana berpotensi sebagai tempat serangan pengganas.
Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim berkata ia berdasarkan kepada beberapa siri serangan yang berlaku di luar negara melibatkan pelajar dan institusi pendidikan.
“Sebelum ini, kami pernah mengadakan latihan di stesen kereta api, pusat beli-belah dan kali ini kita memilih institusi pendidikan.
“Pemilihan ini disebabkan terdapat rekod atau sejumlah kes berlaku di luar negara melibatkan serangan pengganas terhadap pelajar. Jadi ini merupakan latihan untuk kita berwaspada jika perkara sebenar berlaku,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan sesi latihan Ex Kurung di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.
Terdahulu, polis mengesahkan insiden pengganas, tembakan dan tebusan pelajar di PUO yang mencetuskan panik dan tular di media sosial, adalah latihan pengurusan dan pengendalian krisis dikenali Ex Kurung.
Hamzah berkata sebanyak 249 individu terlibat dalam sesi berkenaan terdiri daripada 69 Komando, kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), pengurusan PUO dan pelajar.
Beliau berkata latihan itu bertujuan mengurus dan mengendalikan krisis keganasan sepertimana yang digariskan dalam arahan Majlis Keselamatan Negara.
“Apabila terjadi situasi seperti ini paling penting adalah bagaimana kita nak menyelaras operasi serta tindakan seterusnya yang perlu dilakukan dalam menyelamatkan tebusan,” katanya.
Beliau memaklumkan seorang pelajar wanita berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan ringan telah dihantar ke Hospital Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan susulan.
Sementara itu, PUO dalam kenyataan memaklumkan pihak KKM turut berada dalam kampus PUO untuk memberikan bantuan kesihatan serta perkhidmatan psikologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial