WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH RAYUAN GANTI PERINTAH LEPAS DAN BEBAS AHMAD HATTA KEPADA DNAA

17/03/2025 05:47 PM

PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Pihak pendakwaan menerima representasi bekas Timbalan Presiden Kanan Kumpulan Aker Engineering Malaysia Ahmad Hatta Kamaruzzaman untuk kesnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut dengan syarat pembebasan dan pelepasannya oleh Mahkamah Tinggi digantikan dengan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA).

Ahmad Hatta, 54, didakwa di Mahkamah Sesyen pada 18 Feb 2022 atas pertuduhan mengelirukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan mengemukakan kenyataan palsu pada 2017.

Di Mahkamah Rayuan hari ini, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Law Chin How memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan menerima representasi Ahmad Hatta.

Beliau berkata pendakwaan memohon keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 23 Dis 2022 untuk melepas dan membebaskan Ahmad Hatta digantikan dengan DNAA.

Katanya Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memberikan pelepasan dan pembebasan kepada Ahmad Hatta memandangkan perbicaraan kesnya masih belum bermula.

Sebagai balasan, katanya pihak pendakwaan akan mengklafisikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut.

Peguam Ahmad Hatta, Amer Hamzah Arshad mengesahkan perkara itu, mengakui bahawa perintah tersebut sepatutnya DNAA.

Hakim Datuk Azman Abdullah yang mengetuai panel tiga hakim, kemudian menggantikan perintah Mahkamah Tinggi dengan DNAA.

Turut bersidang Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Ahmad Hatta didakwa mengelirukan SSM dengan satu pernyataan palsu berhubung butir material dalam Annual Return of Company Having Share Capital Aker Engineering Malaysia Sdn Bhd bertarikh 19 Mei 2017.

Dokumen itu dikehendaki diserah simpan kepada SSM di bawah peruntukan Seksyen 68 Akta Syarikat 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada Jun 2017 di Menara SSM @ Sentral, No 7 Jalan Stesen Sentral 5 di sini mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM3 juta jika sabit kesalahan.

Ahmad Hatta kemudiannya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada April 2022 untuk membatalkan pertuduhan itu yang diluluskan mahkamah.

Dia pada mulanya didakwa memperdaya sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka untuk menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat berkelayakan dan berstatus bumiputera.

Pada November 2021, Ahmad Hatta dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen yang membenarkan bantahan awal, memutuskan pertuduhan itu adalah cacat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan