WILAYAH - SARAWAK > BERITA

1MDB: SPRM PEROLEH PEMULIHAN ASET LEBIH RM29 BILION

17/03/2025 08:43 PM

PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Jumlah pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) keseluruhan yang direkodkan setakat ini ialah RM29,752,034,475.13, iaitu 70 peratus daripada kira-kira RM42 bilion yang dipercayai diselewengkan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa jumlah itu mencatatkan kadar pemulihan yang sangat tinggi berbanding kadar pemulihan aset global hasil daripada usaha bersepadu agensi penguatkuasaan serta kolaborasi antarabangsa.

Menurut SPRM, kejayaan pemulihan aset berkenaan membuktikan keupayaan serta komitmen berterusan suruhanjaya itu dalam membawa pulang aset yang diperoleh secara tidak sah.

“Ia juga mencerminkan keberkesanan kerjasama antara SPRM dan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura dalam memerangi rasuah serta pengubahan wang haram,” menurut kenyataan itu.

SPRM memaklumkan bahawa aset yang telah dikembalikan adalah sebanyak RM14,670,676.61, melibatkan mata wang asing iaitu SGD1,388,122.52, USD85,868.53, NZD344,163.76 dan AUD3,181,097.67.

“Dana yang diperoleh itu sudah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset di bawah Kementerian Kewangan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut memaklumkan bahawa sebanyak RM12,974,730.41 telah dikembalikan kepada kerajaan hasil daripada penjualan hartanah serta pemindahan dana daripada akaun syarikat milik Tan Kim Loong, seorang warganegara Malaysia yang dikaitkan dengan Low Taek Jho.

“Pemindahan dana ke Akaun Amanah Pemulihan Aset telah dilakukan pada 18 Feb 2025, 7 Mac 2025, dan 10 Mac 2025,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, SPRM memaklumkan bahawa sejumlah RM1,695,946.20 telah dipulihkan daripada Yak Yew Chee, seorang warganegara Singapura dan bekas pegawai bank yang telah disabitkan kesalahan di Singapura kerana penglibatannya dalam kes 1MDB.

“Dana ini telah dikreditkan ke Akaun Amanah Pemulihan Aset pada 21 Jan 2024.

“SPRM akan terus komited dalam usaha mendapatkan semula aset negara yang diseleweng serta bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa dalam menangani kes-kes berkaitan rasuah dan jenayah kewangan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan