SEREMBAN, 17 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menerima dua set tren perkhidmatan tren elektrik (ETS) daripada pembekal China bulan depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata baki lapan set tren pula akan dipasang di negara ini melalui kilang di Batu Gajah, Perak dengan tren baharu berkenaan dijangka dapat beroperasi secara beransur-ansur pada penghujung tahun ini.
“Tren ETS baharu dijangka beroperasi penghujung tahun ini, apa kita buat sekarang ialah kita lanjutkan perkhidmatan ETS sedia ada ke Segamat sebab Stesen Segamat dah siap tapi Stesen Johor Bahru belum siap. Jadi, perkhidmatan belum boleh bermula dari Johor Bahru, ia masih sampai Segamat sahaja.
“Segamat menggunakan tren sedia ada dan semua tren baharu sedang disiapkan, malah dua tren pertama juga akan tiba daripada (pembekal) China bulan depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Pengangkutan bersama Pemimpin Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Loke berkata dengan adanya tren baharu berkenaan, kekerapan perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur juga akan bertambah, sekali gus memberikan manfaat kepada pengguna.
“Seremban juga akan mendapat manfaat kerana kesemua tren dari Johor melalui Seremban. Jadi, akan lihat kekerapan bertambah dari Johor atau Kuala Lumpur atau utara bertambah, penumpang dari Seremban punya lebih banyak pilihan sama ada ambil tren dari selatan atau utara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Stesen Seremban Sentral di sini yang dilengkapi kemudahan baharu dan canggih dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi, dengan ketika ini kerja pemasangan cerucuk sedang dilaksanakan.
“Sudah tentu beri manfaat kepada rakyat, stesen berkenaan akan menjadi tumpuan orang ramai, ia bukan sahaja sebagai terminal tapi integrasi dengan aktiviti komersial, kawasan yang nak dibangunkan di belakang stesen itu akan jadi penghubung antara stesen dengan kawasan itu,” katanya.
Terdahulu, pada majlis berkenaan Loke menyaksikan penyerahan zakat perniagaan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bagi tahun kewangan 2024 berjumlah RM300,000 selain turut menyampaikan sumbangan kepada masjid, surau dan asnaf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial