WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEHADIRAN NATXO, SUMAREH PERKUATKAN SKUAD HARIMAU MALAYA - CKLAMOVSKI

17/03/2025 10:00 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mac (Bernama) -- Pemilihan Natxo Insa dan Mohamadou Sumareh dalam kem latihan Harimau Malaya memenuhi kriteria untuk memperkukuh pasukan menjelang aksi pembukaan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa ini.

Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski berkata kedua-dua pemain itu mempunyai profil yang selari dengan corak permainan yang ingin diterapkannya sepanjang kem latihan.

“Saya melihat profil pemain yang saya inginkan—berfikiran menyerang, positif dan mahu bermain bola sepak yang berkualiti serta agresif. Saya percaya kami mempunyai skuad yang kuat, bukan hanya seorang atau dua pemain, tetapi pasukan yang mampu bersaing antara satu sama lain setiap hari.

“Ini akan membolehkan kami menurunkan pasukan yang mantap pada Selasa ini dan mempamerkan kekuatan kami. Persaingan dalam latihan membantu membentuk dua pasukan yang berdaya saing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan Natxo dan Sumareh dalam skuad kelayakan Piala Asia yang dipersoalkan oleh segelintir peminat bola sepak.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa kesemua 27 pemain terpilih akan memulakan kem latihan hari ini di Johor Bahru, di mana mereka akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan penilaian fizikal.

Menurutnya persiapan hari ini bertujuan memastikan sesi latihan berjalan dengan produktif, sama ada dalam aspek pemulihan atau latihan di padang.

"Kami ada sesi latihan malam ini yang akan dibahagikan mengikut kumpulan. Pemain yang beraksi malam tadi dan mungkin mengalami sedikit keletihan akan memberi tumpuan kepada pemulihan, manakala pemain lain yang bersedia dan bersemangat akan menjalani latihan penuh," katanya.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perubahan venue perlawanan itu dibuat atas permintaan Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal susulan kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di Stadium Dasharath, Kathmandu.

Perlawanan timbal balik pada 18 Nov ini pula akan diadakan di Nepal.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan