WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEPUTUSAN PEMILIHAN CEC DAP TIDAK ADA KAITAN KEDUDUKAN DALAM KABINET - LOKE

17/03/2025 10:11 PM

SEREMBAN, 17 Mac (Bernama) -- Keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP semalam hanya melibatkan urusan dalaman parti dan tidak membabitkan kedudukan pemimpin parti itu dalam Kabinet Kerajaan MADANI.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata semua anggota Kabinet sedia ada dalam parti itu kekal, selain tiada rombakan yang akan dicadangkan parti susulan pemilihan CEC.

"Jadi Menteri atau Timbalan Menteri, sama ada mereka ahli CEC atau tidak pada waktu ini, mereka akan terus berkhidmat dengan jawatan sedia ada. Syor (pertukaran) datang daripada parti, tidak boleh daripada individu dan parti tidak syorkan apa-apa kecuali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak buat perubahan.

“Kalau Perdana Menteri hendak buat rombakan sudah tentu beliau akan tanya pandangan parti juga. Saya selaku Setiausaha Agung DAP tidak akan membuat apa-apa cadangan kepada Perdana Menteri untuk membuat sebarang perubahan, ia adalah status quo,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Pengangkutan bersama Pemimpin Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 30 pemimpin dipilih menganggotai CEC DAP selepas tamat sesi pengundian yang dijalankan pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, semalam.

Menteri Digital Gobind Singh Deo memperoleh undian tertinggi dengan 2,785 undi, diikuti Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen (2,631 undi) dan  Ahli Parlimen Kulai merangkap Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (2,585 undi).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan