WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KAJIAN TERPERINCI SEBELUM HADKAN TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI - SAARANI

18/03/2025 02:58 PM

TAPAH, 18 Mac (Bernama) -- Kajian menyeluruh dan terperinci perlu dilakukan sekiranya mahu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Sebahagian pihak berpendapat ia (jawatan Perdana Menteri) perlu dihadkan kerana jika terlampau lama masa (memerintah) akan membuka ruang kepada individu itu untuk mencengkam kuasa dan juga terbuka kepada peluang menyalahgunakan kuasa.

“Namun, jika seseorang itu adalah pemimpin yang baik, berkesan dan berwawasan, jika kita ‘matikan’ peluang dia untuk meneruskan wawasan itu, barangkali ia akan merugikan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri bersama penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, adalah seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan beliau dalam gagasan ‘Membangun Negara MADANI’ dan ia bukan perkara baharu.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan