TAPAH, 18 Mac (Bernama) -- Kerajaan Perak dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan sumbangan berjumlah RM245,000 bagi menaik taraf infrastruktur lapan pertubuhan kebajikan serta rumah kebajikan kanak-kanak dan anak yatim di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sumbangan berkenaan yang bertujuan memastikan golongan terlibat menjalani kehidupan selesa, merupakan program tanggungjawab sosial korporat SKM dengan kerajaan negeri.
"Sumbangan ini sangat bermakna terutama kepada anak yatim dan kita doakan koperasi yang memberi tajaan akan terus membuat kebajikan pada masa akan datang," katanya selepas merasmikan Program Dari Mata Turun Ke Hati, SKM Cakna Komuniti di Maahad Tahfiz Al Quran Al Ahmad, Tapah Road di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed serta Pengerusi SKM Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Lapan organisasi yang menerima peruntukan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Ar-Ridwani, Ipoh dengan menerima RM45,500, Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darul Aitam (Busarah) Temoh, Tapah (RM29,500) dan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam, Ipoh (RM36,000).
Turut mendapat peruntukan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Dahikmah Gopeng (RM30,000); Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Tasawwur Islam Perak, Semanggol (RM30,000); Yayasan Anak Yatim Darussakinah, Teluk Intan (RM18,000), Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Warga Miskin Bait Al-Amin, Parit (RM26,000) serta Badan Khidmat Islam Perak (BAKIP) RM30,000.
Mengenai Latihan Ex Kurung di Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh, Saarani berkata elemen kerahsiaan tanpa notis kepada pelajar adalah bagi memberi gambaran jelas terhadap tahap kesiapsiagaan pasukan penyelamat dan perubatan dalam menghadapi keadaan kecemasan dan krisis luar jangka di negara ini.
"Orang ramai perlu tahu betapa sukarnya mereka yang terlibat (berkaitan keselamatan) khususnya PGK (Pasukan Gerakan Khas) dengan isu berkaitan keselamatan sepertimana insiden Lahad Datu sebelum ini.
"Perlu ada latihan berkala dilakukan dan pentingnya mengawal serta mengendalikan situasi melibatkan serangan pengganas, jadi kita tidak boleh ambil mudah dan sentiasa bersedia," katanya.
Semalam, polis dalam satu kenyataan mengesahkan insiden pengganas, tembakan dan tebusan pelajar di PUO yang mencetuskan panik dan tular menerusi media sosial adalah latihan pengurusan dan pengendalian krisis oleh pasukan 69 Komando dikenali sebagai Ex Kurung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial