KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Sindiket pendaftaran kelahiran yang menggunakan dokumen palsu dipercayai menjual sijil kelahiran hingga mencecah RM50,000 kepada ibu bapa yang mempunyai anak angkat atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
Menurut sumber, sindiket menggunakan taktik mengupah individu pemaklum yang menyamar sebagai waris bayi untuk mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa proses pendaftaran.
“Ejen sindiket akan menyediakan dokumen lengkap kelahiran yang diuruskan oleh pengamal undang-undang dan doktor sebelum diserahkan untuk pendaftaran di JPN.
“Sebaik sijil kelahiran diperoleh, pemohon (pemaklum) akan menyerahkannya kepada ejen untuk dijual di pasaran gelap termasuk kepada ibu bapa atau penjaga yang telah menunggu dan bersedia membayar bagi mendapatkan dokumen tersebut,” katanya.
Sumber turut memaklumkan harga sijil kelahiran yang dijual tidak tetap namun dianggarkan dalam lingkungan RM10,000 hingga RM50,000, bergantung kepada permintaan.
Menurut sumber, kewarganegaraan asal bayi yang terlibat sukar untuk dipastikan kerana urus niaga tersebut dilakukan tanpa pengetahuan pemaklum.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap pembabitan ejen dan orang tengah dalam sindiket ini.
“Setakat ini, menerusi Op Outlander, hanya seorang pegawai agensi kerajaan ditahan kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket mengeluarkan sijil kelahiran terbabit,” katanya.
Menurut sumber, lapan individu masih dalam reman selepas ditahan melalui Op Birth dan Op Outlander manakala dua dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman tamat pada 16 Mac lepas.
Sumber berkata sebanyak 11 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM100,000 dibekukan SPRM selain 30 dokumen berkaitan disita menerusi Op Outlander.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Idris Zaharudin mengesahkan perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pada 11 Mac lepas, SPRM menahan beberapa individu berusia 20-an hingga 70-an antara 11 pagi hingga 8 malam menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran yang dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2013 hingga 2018 serta 2023 hingga 2025.
Mereka didakwa menerima dan memberi rasuah, termasuk menyediakan serta mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial