WILAYAH - SELATAN > BERITA

PERCEPAT PELAKSANAAN PROJEK TEBATAN BANJIR - MB JOHOR

20/03/2025 03:25 PM

JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mempercepat pelaksanaan projek itu bagi mengurangkan risiko banjir berulang yang sering melanda negeri ini.

“Saya akan memastikan segala usaha yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan Bangsa Johor.

“Keadaan banjir di Johor masih membimbangkan. Menurut laporan terkini, sebanyak 1,015 mangsa daripada 299 keluarga telah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terjejas, iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, beliau berkesempatan turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini hari ini bersama-sama Pegawai Daerah Johor Bahru Ahmad Nazir Mohd Nasir dan Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Haffiz Ahmad meninjau keadaan sungai di kawasan terjejas.

Beliau dalam pada itu, menasihati semua pihak agar berwaspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

“Hujan masih berterusan … saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar. Semoga dipermudah segala urusan kita semua,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan