JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) -- Hujan sejak awal pagi semalam hingga hari ini mengakibatkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir.
Tinjauan di Kampung Pasir Tebrau mendapati pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor melakukan kerja-kerja menyelamat penduduk kampung yang masih berada di rumah masing-masing.
Penduduk kampung berkenaan Zaleha Bachok, 52, menyifatkan banjir kali ini antara terburuk sejak 29 tahun dia menetap bersama suami dan tiga anaknya.
Dia yang juga suri rumah berkata rumahnya dinaiki air sehingga paras dada dan reda tidak sempat menyelamatkan barang-barang, seperti peralatan elektronik.
“Hujan lebat bermula dari pagi semalam kemudian surut tapi bila hujan tak berhenti pagi tadi banjir naik semula ... tahun ini antara yang terburuk, depan rumah saya air banjir berada paras dada.
“Saya dan keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara pagi tadi tapi kami bawa keluar dahulu anak saya yang Orang Kurang Upaya.
“… tentang persiapan raya, saya tidak buat lagi … tapi kami memang reda sebab dah duduk di kawasan banjir, biasanya persiapan saya buat pada hujung Ramadan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Tebrau di sini hari ini.
Seorang pekerja swasta Hairul Azim Jasmin, 21, hanya mampu menzahirkan rasa terkilan kerana persiapan raya telah dilakukan memandangkan hari raya berbaki seminggu lagi.
Dia berharap pihak yang berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi membantu mereka yang saban tahun berdepan masalah banjir setiap kali hujan lebat dan berterusan.
“Kejadian kali ini hampir sama dengan banjir besar yang berlaku pada Mac tahun lepas yang menyebabkan kerosakan besar.
“Di sini ada 54 rumah dengan 105 keluarga dan setakat ini hampir semua dah keluar cuma tinggal satu lagi keluarga dan sekarang bomba tengah menguruskan kerja menyelamat.
“Cuma saya berharap langkah lebih proaktif dapat dilakukan untuk mengatasi masalah banjir ini,” katanya yang telah menetap di kampung berkenaan selama 21 tahun.
Jumlah mangsa banjir di negeri ini setakat 12 tengah hari tadi meningkat kepada 1,048 mangsa daripada 308 keluarga, melibatkan daerah Johor Bahru, Pontian dan Kulai berbanding 893 mangsa daripada 257 keluarga yang terjejas pada 8 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial