SEPANG, 21 Mac (Bernama) -- Sebanyak 51 warga Bangladesh tidak dibenarkan memasuki negara ini selepas dikesan menggunakan dokumen tempahan hotel palsu dan mengelak diperiksa pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan mereka ditahan hasil pemeriksaan rambang terhadap 67 warga asing di Balai Ketibaan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, beberapa individu dikesan berlegar-legar di Balai Ketibaan.
“Tindakan mencurigakan tanpa segera melaporkan diri kepada pegawai bertugas, dan tindakan beberapa individu cuba mengelak daripada melalui prosedur pemeriksaan biasa menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar kemasukan mereka,” menurut kenyataan itu.
Ketika proses pemeriksaan dijalankan, terdapat insiden seorang individu cuba melarikan diri daripada diperiksa, namun berjaya ditahan semula oleh pegawai bertugas.
Hasil saringan, 51 warga Bangladesh telah ditolak kemasukan ke Malaysia kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Selain menggunakan dokumen palsu, antara sebab kemasukan mereka ditolak ialah kerana tiada wang sara diri mencukupi bagi menampung perbelanjaan sepanjang tempoh tinggal di Malaysia dan gagal menyatakan tujuan jelas untuk memasuki Malaysia.
“Malah, sebahagian daripada mereka turut mengaku masuk ke Malaysia bagi tujuan mendapatkan pekerjaan,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan kesemuanya akan dihantar pulang ke negara asal dengan segera melalui penerbangan terawal yang ada.
“Kawalan di pintu masuk negara akan terus diperketat dan pemantauan berterusan akan dilaksanakan oleh AKPS bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial