WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPJ SARAWAK PERTINGKAT PENGUATKUASAAN MENJELANG AIDILFITRI

20/03/2025 08:58 PM

MIRI, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan mempertingkatkan penguatkuasaan di seluruh negeri menjelang Aidilfitri susulan peningkatan mendadak pergerakan kenderaan.

Pengarahnya Norizan Jili berkata operasi yang dijalankan bukan bertujuan mencari kesalahan pengguna jalan raya, sebaliknya bagi memastikan peraturan lalu lintas sentiasa dipatuhi demi keselamatan mereka.

“Kita tidak mahu ada yang kehilangan orang tersayang akibat kemalangan jalan raya pada Ramadan ini, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.

“JPJ sentiasa berusaha memastikan jalan raya di Sarawak selamat untuk semua," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata JPJ Sarawak menerima kunjungan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi yang turun padang menyantuni anggota penguat kuasa semasa menjalankan operasi di Miri pada Rabu.

Norizan berkata Jazmanie turut berbuka puasa bersama pegawai kanan JPJ Cawangan Miri dan anggota penguat kuasa di lokasi operasi.

“Sebelum itu, Jazmanie menghadiri program pengagihan 250 bungkus bubur lambuk dan bubur pedas kepada pelanggan yang berurusan di JPJ Cawangan Miri serta pengguna jalan raya sekitar.

“Pada sebelah malam, beliau turut menyampaikan sumbangan khas kepada golongan asnaf dan ibu tunggal pada Program JPJ Prihatin Bersama Komuniti Setempat,” katanya. 

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan