KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kerajaan melalui bahagian pengurusan bencana telah mengerahkan segala tenaga dan aset terbaik bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk di Johor, Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat banjir terus terpelihara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha sedang digiatkan daripada operasi menyelamat hingga penyaluran bantuan keperluan asas, agar mangsa yang terkesan mendapat perlindungan sewajarnya.
“Pada saat kita memasuki 10 hari terakhir Ramadan, saudara-saudara kita di Johor, Sabah dan Sarawak sedang diuji dengan bencana banjir yang di luar jangkaan. Hati saya tersentuh tatkala mendengar rintihan mereka yang terkesan.
“Rumah ditenggelami air, harta benda musnah, dan anak-anak kecil terpaksa berlindung di pusat pemindahan. Apa yang kita lihat sudah cukup menyayat hati, namun bagi mereka yang mengalaminya, ujian ini jauh lebih berat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menerusi laman X hari ini.
Ahmad Zahid berkata setakat 12 tengah hari, sebanyak 12,255 orang daripada 3,771 keluarga masih terjejas, dengan 116 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga negeri itu.
Beliau berkata Johor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi melibatkan 10,510 penduduk daripada 3,245 keluarga yang berada di 98 PPS melibatkan lima daerah.
“Di Sabah, sebanyak 1,273 penduduk daripada 405 keluarga masih berlindung di 11 PPS di enam daerah, manakala di Sarawak pula, 472 penduduk daripada 121 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial