WILAYAH - UTARA > BERITA

SAGU HATI AIDILFITRI RM1,200 UNTUK 218 GURU TAKMIR DI P.PINANG

22/03/2025 08:24 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini mengumumkan pemberian sagu hati Aidilfitri sebanyak RM1,200 kepada setiap 218 guru takmir di negeri itu sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, yang juga Timbalan Ketua Menteri I, berkata jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan oleh MAINPP adalah sebanyak RM261,200.

Katanya pemberian itu bertujuan memastikan kebajikan guru-guru takmir yang banyak membantu kerajaan negeri dan MAINPP dalam mengimarahkan masjid, surau, dan agensi terpilih seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara Malaysia, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya berharap inisiatif itu dapat membantu meringankan beban dan memberikan suntikan semangat kepada para asatizah untuk terus menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat.

“Sesungguhnya, peranan guru takmir amat penting dalam mendidik umat, membentuk akhlak, dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya semasa berucap pada Majlis Iftar Jamaie Guru-Guru Takmir Pulau Pinang dan pelancaran Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) MAINPP di sini hari ini.

Hadir sama Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman; Timbalan Mufti negeri Nor Azamir Alias, Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang Za’im Md. Yudin dan Setiausaha MAINPP Datuk Rosidi Hussain.

Mohamad berkata kerajaan negeri juga amat komited alam memartabatkan syiar Islam di Pulau Pinang di mana pada tahun ini, pihaknya melalui MAINPP telah memperuntukkan RM959,800 bagi membiayai pelbagai program keilmuan dan penganjuran kursus bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru takmir.

Mengulas mengenai SPB MAINPP, katanya inisiatif itu adalah selaras dengan agenda nasional untuk memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus, dan responsif terhadap keperluan masyarakat.

Katanya menerusi sistem itu, pengurusan masjid dan kariah akan menjadi lebih sistematik, memudahkan komunikasi antara MAINPP dan pentadbir masjid, serta meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam.

“Mesyuarat MAINPP telah meluluskan kertas cadangan dan peruntukan RM2 juta untuk menampung kos keseluruhan pembelian sistem tersebut. Dengan keputusan itu, pentadbiran masjid dapat diringankan, sekali gus memastikan semua masjid di negeri ini dapat menggunakan sistem tersebut secara seragam.

“Hal ini akan membolehkan masjid-masjid di seluruh negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengimarahan dan aktiviti dakwah yang berkesan, selaras dengan harapan untuk memunculkan masjid ummatik di Pulau Pinang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan