WILAYAH - UTARA > BERITA

VIDEO TULAR POLIS TAHAN LELAKI KEJADIAN JAN LEPAS, TELAH JATUH HUKUM

23/03/2025 08:41 PM

GEORGE TOWN, 23 Mac (Bernama) -- Polis menjelaskan rakaman video seorang lelaki ditahan anggota polis yang tular di media sosial hari ini merupakan kejadian pada 1 Jan lepas dan suspek telah pun dijatuhi hukum di Mahkamah Majistret Georgetown.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdu Rozak Muhammad berkata pihaknya mengesan rakaman video yang tular itu pada 2.30 petang tadi.

Beliau mengesahkan pada hari kejadian, sepasukan polis dari Balai Polis Lebuh Pantai menerima maklumat mengenai satu insiden kekecohan di Lebuh Light ketika menjalankan operasi pencegahan jenayah sempena ambang tahun baharu 2025.

“Hasil tindakan pantas pihak polis ke tempat kejadian, seorang lelaki warga tempatan berumur 42 tahun telah ditahan kerana menumbuk dan mencakar muka petugas polis semasa anggota tersebut menjalankan tugas meleraikan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Georgetown pada 3 Jan, mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Suspek telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM2,000 oleh mahkamah. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan dan membuat sebarang spekulasi mengenai video kes lampau tersebut hingga boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, rakaman seorang lelaki ditahan polis telah dimuat naik di satu akaun Facebook sebelum ia menjadi tular.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan