WILAYAH - TENGAH > BERITA

BELIA PERLU BERSIKAP TERBUKA, POSITIF DAN BERPENDIDIKAN TINGGI - WAN AZIZAH

22/03/2025 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu golongan belia sentiasa bersikap terbuka, positif serta berpendidikan tinggi supaya dapat membawa perubahan yang lebih baik kepada negara.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata negara memerlukan belia yang lebih berani, bijak serta mempunyai semangat patriotik yang tinggi untuk membina negara pada masa hadapan.

“Kami mahu lihat belia sekarang lebih berani, lebih bijak, lebih patriotik dan lebih bersemangat berbanding kami dahulu. Demi Malaysia yang lebih baik, maju dan sejahtera pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Perpaduan Belia Malaysia anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim bersama 250 tetamu yang terdiri daripada pemimpin belia, pemimpin agama, mantan kepimpinan belia, mahasiswa dan rakan strategik MBM.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Jawatankuasa Harmoni MBM sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini menerusi gerak kerja bersama kerajaan.

Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata jawatankuasa itu akan menjadi platform bagi wakil-wakil belia daripada pelbagai etnik dan agama untuk berbincang serta menangani isu sensitif berkaitan perpaduan.

“Menerusi jawatankuasa ini, kita akan gerakkan program perpaduan dan keharmonian di seluruh Malaysia, melibatkan badan-badan gabungan MBM khususnya yang berasaskan etnik, agama dan kaum. 

“Kita mahu menyelesaikan isu-isu sensitif dan memastikan belia menjadi duta perpaduan serta contoh terbaik dalam membawa mesej keamanan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan