WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WARTAWAN TEMPO TERIMA ANCAMAN, POLIS INDONESIA LAKUKAN SIASATAN

23/03/2025 02:36 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 23 Mac (Bernama) -- Polis Indonesia memulakan siasatan berikutan ancaman yang diterima wartawan majalah berita "Tempo", Francisca Christy Rosana atau lebih dikenali sebagai Cica.

Ancaman itu termasuk kepala babi dihantar dalam satu bungkusan serta penemuan enam ekor tikus tanpa kepala di pejabat penerbitan itu di Jakarta Selatan.  

Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo memaklumkan bahawa beliau mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden berkenaan.  

"Saya telah mengarahkan Ketua Siasatan Jenayah untuk melakukan penyiasatan secara terperinci berhubung insiden di Tempo," katanya dalam satu kenyataan.  

Ancaman pertama dilaporkan kepada Suruhanjaya Keselamatan Wartawan Indonesia (KKJ) oleh Ketua Pengarang Tempo, Setri Yasra selepas satu bungkusan dihantar kepada Cica.  

Pada 21 Mac, KKJ merujuk kes kepada Jabatan Siasatan Jenayah polis.  

 Cica, seorang wartawan meja politik serta hos podcast politik Bocor Alus Politik, merupakan penerima bungkusan pertama yang mengandungi kepala babi.

Bungkusan itu dialamatkan kepadanya pada 19 Mac tetapi hanya diterima sehari kemudian selepas beliau selesai bertugas.  

Pada 22 Mac, satu lagi bungkusan yang mengandungi enam ekor tikus tanpa kepala ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan di pejabat Tempo sekitar 8 pagi waktu tempatan.  

Majlis Akbar Indonesia mengecam ancaman itu, menyifatkannya sebagai satu serangan terhadap kebebasan media.  

"Ini jelas merupakan tindakan keganasan dan ugutan yang bertujuan menakut-nakutkan.

"Perbuatan seperti ini biasanya dilakukan oleh pihak yang merasa terancam tetapi enggan bertanggungjawab," kata Pengerusinya Ninik Rahayu.  

Beliau menggesa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan laporan Tempo supaya menggunakan hak untuk memberikan maklum balas, bukannya bertindak mengugut.  

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia Meutya Hafid menegaskan bahawa kebebasan media adalah asas penting demokrasi yang mesti dipertahankan.  

Beliau menambah bahawa pentadbiran Presiden Prabowo Subianto komited dalam melindungi kebebasan bersuara dan memastikan kritikan awam terus menjadi sebahagian daripada dasar kerajaan.  

"Sebagai bekas wartawan, saya amat kesal dengan sebarang ancaman terhadap kebebasan media.

"Kami menyokong penuh agar kes ini disiasat dan diproses secara undang-undang oleh pihak polis," katanya.  

Pada 2024, wartawan di Indonesia terus menghadapi ancaman dan cabaran berterusan terhadap kebebasan media, seperti yang didedahkan dalam Indeks Keselamatan Wartawan.  

Indeks ini, yang disusun oleh Yayasan TIFA dengan kerjasama Perhimpunan Pengembangan Media Nusantara (PPMN), Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia (HRWG), dan rakan penyelidik Populix, meninjau 760 wartawan di seluruh negara.  

Kajian menunjukkan bahawa 24 peratus wartawan mengalami keganasan dan ugutan, 23 peratus menerima ancaman secara langsung, 26 peratus berdepan larangan membuat liputan, manakala 44 peratus menghadapi sekatan dalam pelaporan berita.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan