WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PUSPAKOM GUNA PENGALAMAN TIGA DEKAD KEKAL RELEVAN, SEDIA BERSAING

24/03/2025 10:59 PM

SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sedia berkongsi kepakaran dan bersaing dengan tiga syarikat lantikan Kementerian Pengangkutan bagi melaksanakan perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) menjelang 2027.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mahmood Razak Bahman berkata pengalaman selama 30 tahun menjadi penanda aras pemeriksaan kenderaan dan keselamatan jalan raya di Malaysia akan membuatkan Puspakom kekal relevan dalam pasaran.

"Kini kami (Puspakom) berada dalam fasa baharu dan sudah tiba masanya untuk menggandakan usaha ke arah kecemerlangan perkhidmatan, inovasi dan integriti bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya selamat.

"Pengalaman mengendalikan sekitar 1.4 juta kenderaan setiap tahun membuktikan Puspakom mempunyai kaedah sistematik dan dipercayai kebanyakan pihak," katanya kepada pemberita selepas Iftar Ramadan Puspakom di sini hari ini.

Dihadiri lebih 300 tetamu, majlis itu turut meraikan 20 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Cheras selain pelancaran tayangan montaj video eksklusif dan episod akhir siri web bertajuk "Inspection Hati Aidil".

Mahmood berkata Puspakom bersedia untuk berkongsi kepakaran dan menjalinkan kerjasama dengan tiga syarikat baharu dalam industri pemeriksaan kenderaan bagi memastikan keselamatan jalan raya kekal menjadi keutamaan.

Beliau berkata Puspakom menyambut baik kehadiran pemain baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan sekali gus memberikan manfaat kepada pengguna.

“Saya mengalu-alukan persaingan kerana ia akan mendorong semua syarikat untuk bekerja dengan lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan bagi Puspakom sendiri, tahap kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan kami masih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan