MELAKA, 23 Mac (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengingatkan pengurusan hotel yang diamanahkan mengendalikan empat hotel wakaf di bawah Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB) agar menjaga imej pusat penginapan itu dengan baik.
Beliau berkata ia bagi mengelak salah tanggapan masyarakat terhadap pengurusan wakaf umat Islam di negara ini.
“Kalau dulu orang faham wakaf ni melibatkan pembinaan masjid atas tanah wakaf dan tanah kubur, jadi hari ini kita nak zahirkan, nak tunjukkan permodalan Islam juga boleh digunakan sebagai satu asas mewujudkan wakaf untuk kepentingan sebab hasil daripada pengurusan hotel wakaf ini, manfaatnya akan diberikan kepada golongan yang memerlukan bantuan itu.
"Kita nak tunjuk bagaimana konsep wakaf menjadi satu daripada instrumen penting dalam pembangunan ekonomi Islam," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Rantaian Kasih bersama Anak-anak Yatim dan Miskin sempena Bulan Wakaf Kebangsaan di sini malam ini.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar) Datuk Selamat Paigo serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) Dr Ridzwan Bakar.
Mohd Na'im berkata pada masa ini PWNB mempunyai empat hotel wakaf di Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.
Dalam pada itu, beliau berkata pungutan zakat yang meningkat di setiap negeri menunjukkan kesedaran dan kepercayaan masyarakat semakin bertambah berikutan pengurusan yang telus daripada agensi dipertanggungjawab mengutip zakat berkenaan.
"Apabila ada kepercayaan ini, maka orang akan mula untuk membayar zakat dan ia akan diterjemah dalam kutipan zakat Majlis Agama Islam di seluruh negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial