WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA DIJANGKA BERDAYA TAHAN PADA 2025 -- RHB IB

25/03/2025 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan tahun ini disokong oleh kemajuan berterusan dalam projek jangka panjang, peningkatan pendapatan isi rumah dan keadaan monetari global yang mereda, kata RHB Investment Bank (RHB IB).

Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata, pihaknya kekal optimis mengenai landskap ekonomi dan mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.0 peratus untuk 2025 berbanding julat yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu 4.5 hingga 5.5 peratus.

"Penggunaan swasta dijangka mendapat manfaat daripada keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, peningkatan gaji minimum bulanan dan pelarasan gaji untuk penjawat awam.

"Aktiviti pelaburan dijangka dirangsangkan oleh pembangunan berterusan projek jangka panjang selain dasar serta insentif mesra perniagaan yang menyasarkan sektor-sektor utama seperti teknologi, pelancongan, dan industri yang berorientasikan eksport," katanya.

RHB IB berkata inisiatif di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI termasuk pelan kritikal seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dijangka merangsang pelaburan jangka sederhana.

Namun begitu, ia menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan impak negatif yang berpotensi menjejaskan prospek sektor perdagangan dan pembuatan Malaysia susulan peningkatan perlindungan dan kemungkinan peningkatan ketegangan perdagangan dalam kalangan ekonomi utama.

Prospek eksport dibayangi oleh ketidaktentuan yang melibatkan dasar tarif serta kesan seterusnya terhadap rantaian bekalan global dan inflasi, katanya.

"Keyakinan utama kami iaitu ekonomi Malaysia secara relatifnya kekal tidak terjejas oleh kesan langsung dasar perlindungan perdagangan Amerika Syarikat (AS) berikutan Malaysia bukan sasaran utama untuk tarif AS.

"Kami lebih bimbang mengenai potensi kesan limpahan permintaan yang lebih perlahan daripada rakan dagang Malaysia khususnya China dan AS, jika ketegangan perdagangan meningkat," jelasnya.

Sementara itu, kata bank pelaburan itu, tekanan inflasi dijangka kekal terkawal yang disokong oleh penurunan kos global dan ketiadaan tekanan permintaan yang ketara walaupun terdapat potensi kenaikan daripada langkah dasar domestik.

"Inflasi utama untuk 2025 dijangka berada dalam julat 2.0 hingga 3.5 peratus. Unjuran inflasi kami untuk 2025 kekal pada 2.4 peratus dengan risiko inflasi dijangka kekal rendah pada peringkat ini," katanya.

Mengenai dasar monetari, RHB IB berkata Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 3.00 peratus untuk baki tahun 2025 dengan mengandaikan prospek ekonomi yang stabil dan tekanan inflasi yang boleh diurus.

"Tidak ada dorongan untuk pelarasan dasar dengan mengandaikan pertumbuhan KDNK dan inflasi berada dalam julat yang diunjurkan," katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: RHB Investment Bank, GDP, BNM, Ekonomi MADANI, Inflasi, OPR


AAH AAH MHFD MAN


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan