JASIN, 24 Mac (Bernama) -- Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Berangan Enam, Umbai tidak pernah kenal erti berputus asa apabila bangkit daripada kegagalan awal untuk meraih hasil lumayan dalam pertanian halia secara fertigasi.
Pengerusi KRT Kampung Berangan Enam Kamaruzaman Md Yasin, 58, berkata projek itu bermula kira-kira tiga tahun lepas dengan bantuan geran RM150,000 daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Bagaimanapun, percubaan pertama menanam 1,200 polibeg halia tidak membuahkan hasil yang diharapkan akibat kekurangan pengetahuan mengenai teknik penanaman yang betul, selain serangan penyakit dan masalah bekalan air.
“Kami belajar daripada kesilapan itu. Dengan tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian Melaka, ia mula menunjukkan hasil lebih baik. Kini, pada fasa keempat penanaman, kami berjaya menuai kira-kira 400 kilogram (kg) halia muda,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kamaruzaman berkata halia yang dituai itu dijual kepada peraih dengan harga RM4.60 sekilogram dan hasil jualan disalurkan sepenuhnya dalam tabung KRT untuk membiayai pelbagai aktiviti kemasyarakatan, selari dengan hasrat kerajaan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Kamaruzaman yang menyedari potensi tanaman itu berkata pihak KRT berhasrat mengembangkan projek berkenaan termasuk menghasilkan produk hiliran seperti jus halia.
“Ini boleh menjadi ‘tanda dagangan’ kepada KRT Kampung Berangan Enam, sekali gus dapat menjadi contoh kepada KRT lain untuk menyertai aktiviti pertanian secara fertigasi,” katanya.
Kamaruzaman berkata halia muda hanya memerlukan empat bulan untuk matang sebelum boleh dituai, manakala halia tua mengambil masa 12 bulan sebelum dipasarkan.
Projek pertanian itu kini disertai 25 peserta dan diusahakan di tanah seluas 1.2 hektar yang disewa di kampung berkenaan.
Selain halia, mereka juga menanam sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, sawi dan kailan, manakala hasil jualan tanaman berdaun itu diserahkan kepada peserta sebagai penghargaan atas usaha mereka.
“Peserta memperoleh sekitar RM200 sebulan menerusi aktiviti pertanian ini untuk membantu mereka meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata projek itu juga antara inisiatif di bawah Projek Prospek RISDA dengan kerjasama pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Serkam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial