WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHB SEDANG MUKTAMADKAN SYARIKAT AMBIL ALIH SLOT PENERBANGAN DI SUBANG

26/03/2025 07:17 PM

Daripada Karina Imran

PERTH, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini dalam proses memuktamadkan pemilihan syarikat penerbangan tempatan atau antarabangsa untuk mengambil alih slot sedia ada di Lapangan Terbang Subang (SZB) tidak lama lagi.

Ini susulan langkah syarikat penerbangan AirAsia menumpukan operasinya di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menyaksikan kekosongan lima slot harian di SZB.

Pengurus Besar Kanan Strategi MAHB Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata syarikat penerbangan yang berminat telah diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan permohonan masing-masing dan MAHB menjangka pemuktamadan peruntukan slot itu dapat diputuskan dalam beberapa minggu akan datang.

"Keputusan itu akan menentukan syarikat penerbangan mana yang akan beroperasi dari SZB serta laluan baharu yang diperkenalkan," katanya pada acara Routes Asia 2025 di Perth, Australia. 

Megat Ardian berkata MAHB juga yakin wujudnya minat kukuh, khususnya daripada syarikat penerbangan antarabangsa untuk memantapkan lagi kesalinghubungan SZB dan meningkatkan peranannya sebagai pintu masuk pilihan untuk perjalanan serantau.

Pada masa ini, katanya, syarikat pengendali lapangan terbang itu sedang meneliti permohonan berdasarkan permintaan laluan serta potensi impaknya ke atas Terminal 1 KLIA.

Sejajar itu juga, perbincangan dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang dijalankan untuk memutuskan kelulusan laluan terbabit, katanya.

“Memandangkan KLIA dan Lapangan Terbang Subang berkongsi ruang udara sama, KLIA sentiasa diberi keutamaan. Apabila operasi penerbangan di KLIA berkembang dan lebih banyak slot ditambah untuk menampung pertumbuhan, ini secara langsung memberi kesan ke atas kapasiti ruang udara Subang.

“Oleh itu, KLIA kekal menjadi keutamaan dan slot penerbangan Subang dihadkan pada masa ini yang turut mengekang sebarang peningkatan operasi di lapangan terbang itu,” katanya ketika mengulas mengenai usaha penambahan slot berkenaan di SZB. 

Beliau juga menjelaskan pembangunan masa depan SZB akan mengutamakan industri penerbangan bernilai tinggi, terutama dalam bidang seperti perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), operasi jet perniagaan serta perniagaan berkaitan aeroangkasa. 

Sektor-sektor itu, kata Megat Ardian, juga sejajar dengan trend industri global selain dapat menyokong matlamat penerbangan Malaysia yang lebih meluas.

Menurutnya, seiring dengan usaha pengembangan Lapangan Terbang Subang baru-baru ini daripada kapasiti 1.5 juta kepada 3 juta penumpang, pintu masuk itu kini menumpukan segmen operasi jet yang mencecah sehingga 15 penerbangan jet sehari.

 Menyentuh AirAsia, beliau berkata MAHB bekerjasama dengan syarikat penerbangan itu dalam dua bahagian yang merangkumi pertumbuhan serta laluannya. 

“Kami menumpukan pertumbuhan syarikat itu bagi lima tahun akan datang. Berdasarkan penghantaran pesawat, mereka berkemungkinan mempunyai pesawat jenis A321 dan beberapa A330.

“Mereka meneliti laluan itu bersama MAHB iaitu laluan yang perlu ditingkatkan kekerapannya serta laluan baharu seiring dengan perancangan pertumbuhan kami," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan