WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEJAYAAN SABAH PULIHKAN HUTAN ROSOT JADI "MAKMAL HIDUP" BERTARAF DUNIA

25/03/2025 10:07 AM


From Emin Madi

Jauh di pedalaman Tawau, Sabah, satu transformasi luar biasa sedang berlaku. 

Sesuatu yang bermula sebagai eksperimen berani dalam pemulihan hutan, kini berkembang menjadi antara kisah kejayaan pemuliharaan alam sekitar paling luar biasa di dunia. 

Kini sempurna, Projek Rehabilitasi Hutan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA) di Luasong itu mengambil masa 20 tahun untuk siap, dan peneraju projek menetapkan sasaran baharu - mengubah hutan yang dipulihkan itu menjadi “Makmal Pemuliharaan Hutan Hujan Hidup” pertama di dunia yang akan berperanan sebagai pusat kecemerlangan pengetahuan tentang pemulihan hutan hujan tropika.

INIKEA bermula pada Jun 1998, susulan memorandum persefahaman antara anak syarikat pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan Sow-a-Seed Foundation di bawah IKEA, syarikat runcit perabot dari Sweden.

Projek rintis itu merangkumi pemulihan 14,009 hektar hutan hujan di Tawau yang musnah akibat kebakaran hutan pada 1983, menjadikannya satu daripada usaha pemulihan hutan paling penting di dunia.

pic-2

Merupakan satu daripada inisiatif terbesar dan paling lama berlangsung di Malaysia, INIKEA melibatkan penanaman semula kira-kira lima juta anak pokok daripada  92 spesies asal.

INIKEA juga menyaksikan penglibatan University of Agriculture Sciences (SLU) Sweden  yang menyediakan sokongan penyelidikan dan teknikal kepada projek, sementara jawatankuasa penasihat dianggotai wakil daripada Kumpulan Yayasan Sabah, IKEA, WWF-Malaysia, SLU, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Universiti Malaysia Sabah dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. 

Bulan lepas, Kumpulan Yayasan Sabah  dan Sow-a-Seed Foundation memperbaharui perkongsian mereka selama 10 ke 20 tahun lagi. Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar@Yusof Khan dipetik berkata mereka akan memperkenalkan inisiatif makmal pemulihan hutan hujan hidup sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan mereka.

“Usaha baharu ini akan meningkatkan penyelidikan, pendidikan dan amalan terbaik dalam pemulihan hutan hujan,” katanya.

 

PEMULIHAN BERTARAF DUNIA 

Sementara itu, pakar menyifatkan hasil INIKEA sebagai “satu keajaiban yang luar biasa”. Di sebalik kejayaan pemulihan hutan hujan terosot itu, yang menjadikan projek tersebut benar-benar istimewa ialah kepelbagaian hidupan yang kembali ke hutan.

Pengerusi Sow-A-Seed Foundation Asa Skogtrom Feldt, 56, berkata: “Projek ini bukan sahaja penting tetapi juga unik, baik di Malaysia ataupun di peringkat antarabangsa. Projek menunjukkan bahawa pemulihan hutan boleh dijayakan dengan komitmen jangka panjang. Inisiatif ini juga menjadi model dalam usaha pemeliharaan alam semula jadi.”

pic-3

Beliau turut teruja kerana tapak INIKEA  itu telah dipulihkan sepenuhnya dan diklasifikasikan sebagai hutan simpan Kelas 1 – status pemuliharaan tertinggi di Malaysia.

“Benar-benar luar biasa. Hidupan liar kembali ke kawasan itu. Saya telah melawat Luasong sebanyak tiga kali, dan tahun lalu (2024), saya melihat dua dozen gajah pygmy Borneo liar di sana. Begitu banyak hidupan liar telah kembali ke kawasan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Penyelidik SLU, Ulrik Ilstedt, 52, yang terlibat dengan projek INIKEA selama lebih 10 tahun, juga teruja dengan kembalinya hidupan liar ke Luasong.

“Projek INIKEA ini benar-benar unik dan amat menggembirakan apabila melihat peningkatan semula bilangan pelbagai spesies hidupan liar,” katanya.

Feldt berkata mereka mengetengahkan INIKEA di pentas dunia termasuk COP (Persidangan Pihak-pihak, iaitu persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bagi meningkatkan kesedaran global serta membolehkan negara-negara lain mempelajari pencapaian Malaysia.

“Banyak pihak di peringkat antarabangsa menunjukkan minat besar untuk belajar tentang projek ini,” katanya, menambah beliau sendiri mempelajari banyak perkara daripada projek tersebut.

“Sebanyak 92 spesies pokok telah ditanam di tapak projek INIKEA yang menjadikannya unik di peringkat global kerana kepelbagaiannya. Projek ini juga menekankan kepentingan komitmen jangka panjang dalam kerja-kerja pemulihan, kerana hutan tumbuh secara perlahan dan memerlukan usaha yang berterusan.”

Feldt berkata fasa seterusnya projek INIKEA akan melibatkan lebih banyak penyelidikan dengan penglibatan penyelidik tempatan dan antarabangsa daripada SLU serta universiti-universiti lain di rantau Nordic.

Tentang rancangan menjadikan tapak INIKEA sebagai “Makmal Pemulihan Hutan Hidup”, beliau berkata projek itu akan menampilkan hutan yang telah dipulihkan serta pelbagai plot ujian, teknik pemulihan yang berbeza dan campuran spesies pokok yang pelbagai.

 

 PENYELIDIKAN 

Menurut Ilstedt pula, kejayaan INIKEA - termasuk pembinaan infrastruktur di kawasan itu - telah membuka laluan kepada kegiatan penyelidikan oleh pengkaji tempatan dan antarabangsa.

“Pelajaran paling menarik yang saya pelajari daripada INIKEA ialah keperluan pemantauan jangka panjang hutan bagi meneliti perkembangannya serta memahami bagaimanana projek itu menyumbang kepada ekosistem,” kata beliau. 

pic-4

Ilstedt berkata kajiannya di INIKEA meliputi, antaranya plot penyelidikan dan eksperimen dengan pelbagai metodologi. 

“Penyelidikan ini bertujuan meningkatkan pemulihan hutan serta kepelbagaian dan strukturnya, selain mempamerkan manfaat alam sekitar dan sosial daripada usaha pemulihan kawasan hutan yang terosot secara luas,” katanya.

Tambah beliau, bagi meningkatkan kebolehlihatan INIKEA di peringkat antarabangsa, pihak berkenaan harus memupuk jaringan kerja agar pengetahuan yang diperoleh daripada projek itu dapat dikongsikan dengan semua pihak berkepentingan.

“Ada peluang besar untuk membangunkan projek INIKEA sebagai pusat penyelidikan serta destinasi pelancongan, di mana pengunjung boleh mempelajari tentang alam semula jadi, hidupan liar dan usaha pemulihan,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Mikhail Tarasov, 50, Ketua Perhutanan di Inter IKEA Group, berkata kejayaan projek INIKEA ialah contoh terbaik bagaimana alam semula jadi dapat dipulihkan.

“Kejayaan INIKEA juga menunjukkan keperluan dari segi komitmen, pembiayaan, kepakaran dan masa. Semua elemen yang diperlukan untuk memulihkan hutan memerlukan konsistensi. Ia adalah pengalaman yang menakjubkan dan unik untuk melihat bagaimana spesies baharu berkembang dan bergembleng membentuk hutan dalam jangka masa panjang,” katanya.

pic-5

Tambah beliau, pengetahuan itu boleh diterjemahkan dan disampaikan kepada komuniti saintifik bagi menarik perhatian para penyumbang yang membiayai usaha pemulihan hutan seperti ini.

Seorang lagi penyelidik SLU, Prof Madya Petter Axelsson, 51, yang turut terlibat dalam projek INIKEA, berkata pemulihan hutan kini menjadi agenda utama di peringkat global.

“Ketika saya melawat Luasong 15 tahun lalu, saya menyedari potensi pokok asal untuk usaha penghijauan semula. Dalam satu ekosistem yang mengandungi ribuan spesies, terdapat banyak pilihan, selain cabaran yang perlu kita atasi,” tambahnya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan