ALOR SETAR, 25 Mac (Bernama) -- Gabungan pelbagai agensi penguat kuasa dalam operasi menjaga keselamatan di sempadan dan perbatasan negara adalah model kerjasama atau amalan biasa yang sering dilaksanakan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sempadan perairan negara khususnya meliputi kawasan yang luas, justeru prosedur operasi standard (SOP) untuk operasi keselamatan sentiasa diperkemaskan.
“Kawasan samudera laut kita luas, seluas 590,000 kilometer persegi dari pantai ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
“Ada beberapa model bagaimana kerjasama agensi disekalikan, misalnya ketika ancaman di Pantai Timur Sabah, kita wujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) apabila polis menjadi perintah kawalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Tabung Aidilfitri kepada para pegawai serta pemain pasukan Kedah Darul Aman FC di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan operasi berisiko tinggi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas ini, terutama pada waktu malam atau awal pagi tidak lagi dilakukan secara sendirian jika ia boleh mengancam keselamatan dan nyawa pegawai penguat kuasa, sebaliknya turut membabitkan agensi lain.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dilaporkan berkata langkah mendapatkan sokongan bantuan daripada rakan strategik itu diambil bagi meminimumkan risiko dan mengelak kejadian tidak diingini membabitkan pegawai penguat kuasa agensi itu ketika pasukan berdepan penjenayah yang tidak diketahui kekuatan mereka semasa menceroboh perairan negara.
Saifuddin Nasution berkata di samping Maritim Malaysia meneruskan tugas hakikinya, operasi melibatkan gandingan beberapa agensi penguat kuasa adalah sesuatu yang sesuai dilaksanakan.
“Akan ada pembahagian tugas, kawasan dan kuasa memerintah... Misalnya Maritim sedang menggerakkan Op Khas Pagar Laut pada musim perayaan, sebab berdasarkan statistik lepas, sesetengah pihak (pelaku jenayah) berpendapat kita perlahankan penguatkuasaan pada masa itu.
“...tapi pada waktu perayaan inilah kita kesan pelbagai jenayah seperti penyeludupan dadah, pendatang asing dan pelbagai elemen jenayah lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial