WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AIDILFITRI: BERTIMBANG RASA DI JALAN RAYA, ELAK PEMANDUAN AGRESIF - AHMAD ZAHID

28/03/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mengamalkan sikap bertimbang rasa dan saling menghormati, bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai satu pengalaman yang selamat, selesa dan bermakna.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata perjalanan pulang ke kampung bukan sekadar satu tradisi musim perayaan, tetapi juga satu amanah untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan orang tersayang selamat tiba ke destinasi.

“Fenomena balik kampung ini sering kali disertai dengan cabaran besar iaitu kesesakan jalan raya luar biasa, yang memberi tekanan kepada sistem jalan raya selain peningkatan risiko kemalangan akibat pemandu keletihan, kesesakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta pelanggaran peraturan jalan raya.

“Elakkan provokasi, pemanduan agresif atau sikap terburu-buru sehingga berisiko mengundang tragedi. Tiada yang lebih bermakna daripada melihat wajah-wajah insan tersayang menyambut kepulangan kita dengan senyuman, bukan air mata,” katanya yang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam hantaran sama berkongsi unjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengenai aliran trafik harian yang dijangka meningkat sehingga 20 peratus bersamaan 2.2 juta kenderaan sehari, pada musim perayaan.

PLUS turut meramalkan jalan utama seperti Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan laluan alternatif ke Pantai Timur mengalami kesesakan luar biasa, manakala trafik di jalan Persekutuan dan negeri dijangka meningkat antara 15 peratus hingga 25 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan