KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Edisi ke-12 Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia, dengan kerjasama iProperty akan memperkenalkan 23 kategori anugerah baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 132 anugerah.
Dalam satu kenyataan, PropertyGuru berkata anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan dan reka bentuk hartanah ini akan diadakan pada 9 Oktober 2025, di The St Regis Kuala Lumpur.
Para pemenang akan layak ke Grand Final Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia ke-20 di Bangkok pada 12 Disember 2025.
“Edisi tahun ini memperkenalkan sembilan anugerah baharu untuk pembangunan bertanah dan bangunan tinggi di seluruh Malaysia Tengah, Utara, dan Selatan, merangkumi kategori Ultra Mewah dan Mid-End untuk kedua-dua jenis hartanah tersebut.
“Tujuh kategori baharu akan mengiktiraf projek kediaman di seluruh Malaysia, termasuk Rumah Bandar Terbaik, Penggunaan Campuran, Pemandangan Laut, Pangsapuri Perkhidmatan, dan Pembangunan Warisan, sementara dua kategori baharu akan memfokuskan projek komersial dengan Pembangunan Komersial Gaya Hidup Terbaik dan Pembangunan Alam Sekitar Bersepadu Terbaik,” menurut kenyataan itu.
Enam kategori reka bentuk telah diperkenalkan untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam seni bina dan estetik dalaman, termasuk Seni Bina Rumah Bandar Terbaik, Dalaman, Landskap, Galeri Jualan, Dalaman Runcit, dan Reka Bentuk Seni Bina Pejabat.
“Pengembangan kategori ini susulan kejayaan Anugerah Pemaju ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) yang diperkenalkan pada 2024, dengan anugerah khas itu kembali tahun ini untuk mengiktiraf lima juara dalam inisiatif ESG, mengukuhkan sokongan PropertyGuru terhadap pembangunan lestari,” kata kenyataan itu.
Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia dan Pengerusi Panel Pengadilan Datuk Ezumi Harzani Ismail berkata pemenang anugerah itu tahun lepas menunjukkan kemajuan dalam sektor hartanah Malaysia dan keupayaan industri untuk menyesuaikan dengan standard yang berubah-ubah.
“Penyertaan dalam anugerah ini adalah penting bagi pemaju kerana ia bukan sahaja menetapkan piawaian yang lebih tinggi dalam pembangunan dan reka bentuk hartanah, tetapi juga mempromosikan persaingan yang sihat serta inovasi kerjasama,” katanya.
Panel yang terdiri daripada 14 ahli, diketuai oleh Ezumi Harzani akan menilai penyertaan dan memilih pemenang semasa Hari Penjurian Secara Langsung pada Julai 2025, yang terdiri daripada pakar dalam perancangan bandar, ESG, penilaian hartanah, kejuruteraan, pengurusan, seni bina, reka bentuk, dan undang-undang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial