BANGI, 26 Mac (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menggunakan analisis residu dadah dalam sistem kumbahan bagi mengesan kewujudan makmal dadah di sesebuah kawasan.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pendekatan itu juga mampu mengesan jenis dadah baharu yang digunakan di negara ini dan mengenal pasti sama ada ia datang dari dalam atau luar negara.
“Perkara ini masih di peringkat awal, menerusi pendekatan ini, kita kenal pasti contohnya satu kawasan perumahan dan kita akan lakukan tindakan susulan dengan bahagian risikan untuk kenal pasti (makmal dadah).
“Ia akan banyak membantu kerana sebelum ini kita tidak pasti sasaran di mana, dengan adanya fakta ini, akan memudahkan tindakan susulan termasuk untuk membuat operasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Alat Tims-tof di Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini analisis air kumbahan di Lembah Subang berjaya mengesan kehadiran Methamphetamine dan dadah jenis baharu iaitu ‘Fentanyl’, menunjukkan kemungkinan kewujudan makmal memproses dadah berkenaan di kawasan terbabit.
“Kita baru ambil sampel (residu kumbahan) di Lembah Klang dan Johor. Kita belum ambil di seluruh negara lagi,” katanya.
Ayob Khan berkata kebolehlaksanaan pendekatan baharu itu adalah hasil kerjasama dalam bidang sains forensik yang dijalin antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan UKM sejak 2022.
Beliau berkata usaha sama dengan UKM menumpukan kepada penyelidikan saintifik berhubung bahan-bahan terlarang, termasuk dadah psikoaktif baharu serta usaha penghasilan dadah secara haram di dalam negara.
Menerusi usaha sama yang mendapat peruntukan RM8.4 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, katanya sebanyak enam pakej kerja telah dirangka merangkumi aspek pembangunan teknologi, penyelidikan, forensik, data dan pembangunan keupayaan dengan RM2.4 juta telah disalurkan setakat ini.
Sementara itu, Ayob Khan berkata menerusi penggunaan alat Tims-tof, pengesanan dadah dalam air kencing dapat dilakukan dengan lebih cekap dalam tempoh 20 saat berbanding dua hari sebelum ini, dengan lebih banyak bahan kimia dapat dikesan termasuk lebih 1,000 bahan yang disenaraikan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).
“Dalam sampel yang diuji tadi sahaja, kita telah dapat mengesan 57 jenis dadah dalam satu sampel saja, bermakna terdapat pelbagai bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata usaha untuk memasukkan bahan-bahan baharu ke dalam jadual Akta Racun 1952 sedang dilaksanakan bagi melancarkan tugas pendakwaan.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial