WILAYAH - TENGAH > BERITA

LELAKI MAUT KETIKA SELAMATKAN ANAK TERJATUH SUNGAI KETIKA MEMANCING

26/03/2025 11:41 PM

SHAH ALAM, 26 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki maut akibat lemas dipercayai ketika cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Kampung Bukit Jati, Klang dekat sini malam ini. 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 7.42 malam. 

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, lelaki berusia 40 tahun tersebut sedang memancing bersama anak lelakinya yang berumur 11 tahun sebelum insiden malang itu berlaku.

"Mangsa dipercayai terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya. Anak mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam.

"Mangsa dilaporkan berjaya ditemukan sekitar 9 malam pada jarak tiga meter dari lokasi dia dipercayai jatuh dan operasi membawa naik mayat dilakukan oleh anggota bomba bertugas," menurutnya dalam satu kenyataan. 

Ahmad Mukhlis berkata operasi itu membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan