KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Sistem pertahanan siber negara perlu dipertingkatkan supaya dapat bergerak seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin kompleks, terutamanya ketika berhadapan ancaman daripada kumpulan radikal ekstremis yang menggunakan serangan siber sebagai sumber pendapatan.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata walaupun Malaysia masih mempunyai sistem pertahanan siber yang relevan, namun ia perlu diperkukuh khususnya dalam aspek kelajuan dan ketepatan.
“Antara strategi yang boleh digunakan dengan meningkatkan keupayaan keselamatan siber sejajar dengan modus operandi penggodam, serta memperkemas latihan kecemasan siber seperti National Drill bagi memastikan kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, yang mendedahkan sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diserang baru-baru ini dengan penggodam menuntut bayaran USD10 juta.
Anwar berkata kerajaan bagaimanapun tidak tunduk kepada ugutan itu, selain menyatakan keperluan meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia.
Noor Nirwandy berkata kerajaan perlu melihat ancaman siber sebagai satu bentuk amaran untuk memperkemas lagi sistem pertahanan siber negara serta, memperkukuh usaha menanganinya bersama negara-negara lain, bagi membentuk sistem keselamatan siber yang lebih baik.
Beliau berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) setakat ini telah berjaya memainkan peranan memantau ancaman siber terhadap negara dengan efektif, selain perlunya kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat ditingkatkan untuk membentuk budaya keselamatan siber dan memastikan kesiapsiagaan menghadapi ancaman.
Sementara itu, Pakar Keselamatan Siber Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nur Izura Udzir berkata serangan siber ke sistem digital MAHB, boleh memberi impak besar terhadap operasi di lapangan terbang termasuk kestabilan negara.
“Serangan siber seperti ini mampu memberi kesan terhadap reputasi, kepercayaan pihak berkepentingan, kerugian operasional dan pampasan. Sudah tiba masanya untuk kita melabur dalam keselamatan siber negara, terutama melibatkan infrastruktur kritikal seperti ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah (Pengurusan Strategik), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, serta Ahli Cyber Security Academia Malaysia (CSAM), turut mencadangkan agar penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) diteliti dalam usaha memperkukuh lagi sistem keselamatan siber negara.
Dalam pada itu, Nur Izura berkata negara perlu mengurangkan kebergantungan kepada sistem keselamatan siber daripada luar negara, dengan membangunkan teknologi sendiri.
“Negara kita memiliki banyak pakar, termasuk agensi seperti NACSA yang boleh diperkasakan lagi. Ini langkah positif yang menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memberi perhatian serius terhadap keselamatan siber dan usaha ini sangat penting untuk memperkukuh sistem keselamatan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial