WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR TERUSKAN TRADISI SAMBUTAN AIDILFITRI BERSAMA RAKYAT DI LAPAN NEGERI

27/03/2025 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI pada tahun ini dengan meraikan hari lebaran bersama-sama rakyat di lapan negeri.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar akan berkunjung ke Melaka bagi majlis sambutan itu yang juga diangkat sebagai penganjuran Peringkat Kebangsaan pada 5 April ini.

Perdana Menteri seterusnya akan ke Selangor pada 6 April, Pahang (11 April); Kelantan dan Pulau Pinang (12 April), Sarawak (19 April), Perak (25 April) serta Perlis (27 April).

“Seperti tahun lalu, Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI akan dianjurkan bersama-sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah.

“Insya-Allah, YAB Perdana Menteri akan hadir bersama dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Justeru, Perdana Menteri menjemput semua rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya untuk bersama-sama hadir serta menyemarakkan nilai murni, kasih sayang, hormat-menghormati serta muhibah yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia sejak sekian lama.

Majlis itu juga menjadi wadah penting untuk meredakan suhu ketegangan antara kaum dan agama selain menghormati serta meraikan perbezaan menerusi interaksi antara rakyat.

Dalam pada itu, Sekretariat Induk Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 dalam kenyataan memaklumkan majlis sambutan Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka dari 10 pagi hingga 4 petang.

Ia anjuran bersama Kerajaan Negeri Melaka sebagai tuan rumah dan Kementerian Perpaduan Negara sebagai kementerian peneraju.

Kenyataan itu memaklumkan selaras dengan tema 'Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara', majlis tersebut menzahirkan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh nilai-nilai murni seperti kasih sayang, toleransi dan hormat dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Ia diharap dapat menyemai semangat kebersamaan yang merentasi perbezaan latar belakang dan fahaman selaras dengan hasrat untuk membina masyarakat yang saling memahami dan menghargai antara satu sama lain,” menurut kenyataan itu.

Penganjuran majlis itu juga membuka ruang interaksi secara langsung antara rakyat dan kepimpinan negara dalam suasana yang penuh silaturahim dan muhibah.

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang pula berkata majlis itu akan memperkukuh hubungan antara rakyat dengan semangat saling menghormati, memahami dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi teras keharmonian negara.

Beliau berkata Aidilfitri bukan sekadar satu perayaan keagamaan tetapi juga satu manifestasi perpaduan yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

“Orang ramai dijemput hadir meraikan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan.

"Pelbagai aktitiviti menarik akan disediakan seperti Pertandingan Sukan Rakyat Perpaduan, pameran reruai jabatan dan agensi, pameran rumah KAMI (rumah etnik) dan persembahan silang budaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan