WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SYAWAL HARUS JADI SIMBOL PENYATUAN MASYARAKAT, ZAHIR KESYUKURAN KE HADRAT ILAHI

31/03/2025 12:14 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Sambutan Aidilfitri yang bakal disambut esok bukan sahaja tanda kemenangan umat Islam berpuasa sebulan, malah simbol keharmonian masyarakat berbilang kaum dan peluang menzahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, demikian antara titah peringatan Raja-raja Melayu.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berharap umat Islam di Malaysia menyambut Aidilftiri dalam suasana yang meriah, harmoni serta bersatu padu.

“Baginda turut mendoakan agar budaya sambutan perayaan seumpama ini akan memperteguhkan jalinan kesepaduan, dengan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum terus hidup dengan toleransi serta aman sentosa,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah Syawal mengingatkan umat Islam tentang erti kesabaran, pengorbanan dan kasih sayang yang sejati serta peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta memperbaiki diri. 

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook menyatakan baginda berdua mendoakan kehadiran bulan Syawal ini membawa seribu keberkatan, kedamaian dan kemakmuran buat semua.

Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang juga menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya di Pahang dan Malaysia secara amnya, selain salam Aidilfitri baginda sekeluarga khas buat warga Sabah dan Sarawak.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya masyarakat sentiasa bersyukur kerana tidak diuji dengan cabaran dan isu yang besar serta dapat hidup dalam keadaan makmur, sejahtera dan bahagia.

Baginda bertitah dalam keadaan damai ini, masyarakat harus terus mengutamakan nilai kemanusiaan dan membantu antara satu sama lain dengan mengambil panduan daripada hadis dan akhlak Nabi Muhammad SAW.

“Pada masa ini, terdapat beberapa negara yang menghadapi masalah peperangan sehingga menyebabkan penduduknya menjalani kehidupan dengan penuh tekanan. Mereka terpaksa berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan, perubatan dan kemudahan asas lain,” titah baginda dalam perutusan sempena Aidilfitri di sini.

Sementara itu di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta rakyat melihat sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar meraikan kejayaan mengharungi ujian bulan Ramadan tetapi juga simbol penyatuan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata Hari Raya Aidilfitri di Sarawak diraikan dengan semangat perpaduan yang tinggi dengan rakyat pelbagai latar belakang kaum dan agama saling mengunjungi serta mengeratkan hubungan silaturahim.

“Tradisi rumah terbuka yang diamalkan di Sarawak adalah cerminan keharmonian kita yang unik. Amalan ini bukan sahaja memperkukuh ikatan kekeluargaan dan persahabatan, tetapi juga menyemai semangat toleransi serta kasih sayang antara kaum,” kata beliau dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan