KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Trafik internet di Malaysia meningkat dengan pesat pada 2024 seperti yang digambarkan oleh indikator Malaysia Internet Exchange, yang merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 17 peratus kepada 2.6 Terabit sesaat (tbps), iaitu tertinggi dalam sejarah syarikat itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-17nya, syarikat itu berkata lonjakan itu menunjukkan pergantungan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur rangkai padan MyIX, didorong oleh perniagaan, penyedia kandungan dan pengguna dalam memacu persekitaran yang kondusif bagi ekonomi digital Malaysia.
Pengerusinya, Chiew Kok Hin berkata ia turut menggambarkan kemampuan MyIX untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk akses internet berkelajuan tinggi dan boleh dipercayai di seluruh negara.
“Pergantungan yang semakin meningkat terhadap sambungan yang stabil dan berkelajuan tinggi mencerminkan perjalanan transformasi digital negara, apabila perniagaan, penyedia kandungan dan pengguna lebih saling berkait berbanding sebelum ini,” katanya.
MyIX ditubuhkan pada 2006 sebagai initiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan visi untuk merapatkan rangkaian dan memperkasakan komuniti.
Chiew turut memuji dasar dan inisiatif proaktif kerajaan yang membolehkan perniagaan dan rakyat menerima pendigitalan dengan lancar.
Katanya, komitmen kerajaan dalam mengukuhkan infrastruktur digital, melaksanakan dasar berfikir ke hadapan dan memupuk perkongsian awam swasta yang memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital.
“Segala usaha ini akan terus mengukuhkan kesalinghubungan di seluruh negara sambil mewujudkan lebih banyak peluang bagi perniagaan untuk berinovasi dalam landskap global yang semakin kompetitif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial