WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WORLD BACKUP DAY: LINDUNGI DATA ANDA DARIPADA ANCAMAN SIBER MUSIM PERAYAAN - FORTINET

31/03/2025 11:38 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Perniagaan dan pengguna di Malaysia diberi amaran mengenai risiko keselamatan siber yang meningkat berikutan lonjakan penipuan dalam talian dan ancaman siber khususnya sewaktu musim perayaan Hari Raya, kata firma keselamatan siber global, Fortinet.

Pengarah Kanan Fortinet Asia Tenggara, Peerapong Jongvibool berkata beliau percaya peningkatan aktiviti e-dagang sepanjang tempoh tersebut memberi peluang yang menguntungkan bagi penjenayah siber.

Katanya, penjenayah berkenaan akan mengeksploitasi mangsa yang tidak berasa curiga melalui pelbagai penipuan digital dan serangan yang berniat jahat.

Beliau menegaskan syarikat dan individu mesti mengutamakan perlindungan data dan strategi sokongan dengan langkah berjaga-jaga tambahan terutamanya semasa musim perayaan bagi mengurangkan potensi kerugian akibat pencerobohan siber selain memastikan kelangsungan perniagaan.

"Semasa musim perayaan, penjenayah siber mengedarkan perisian hasad melalui laman web beli-belah palsu, lampiran e-mel berniat jahat dan iklan berbahaya yang sering disamarkan sebagai promosi perayaan atau kupon diskaun.

 "Sebaik sahaja dipasang, ia boleh mencuri maklumat peribadi, menjejaskan kelayakan perbankan bahkan bertindak sebagai pintu belakang untuk serangan siber yang lebih serius," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual bertulis bersempena World Backup Day 2025.

Peerapong berkata, laman sesawang beli-belah palsu juga menimbulkan risiko besar kerana penjenayah siber menggunakan teknik 'typosquatting' (pencurian URL) untuk mencipta laman e-dagang palsu yang menyerupai peruncit sah. 

Katanya, ia memerangkap pengguna untuk memasukkan butiran kad kredit mereka.

Diperhatikan setiap tahun pada 31 Mac, World Backup Day bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menyandarkan data dan aset digital untuk individu serta perniagaan.

Peerapong menasihatkan individu dan perniagaan supaya sentiasa berwaspada, mengesahkan kesahihan laman sesawang selain mengamalkan langkah keselamatan siber yang proaktif seperti menggunakan pengesahan berbilang faktor (MFA), memastikan perisian dikemas kini dan mengelakkan pautan atau lampiran yang mencurigakan.

 

Perlindungan untuk Perbankan Dalam Talian dan Transaksi E-Dompet

Selain itu, beliau berkata urus niaga digital melalui e-dompet dan perbankan dalam talian menjadi kaedah pilihan untuk beli-belah selain memberi hadiah sewaktu musim perayaan.

"Bagaimanapun, penjenayah siber mengeksploitasi jurang keselamatan pada pelbagai peringkat urus niaga iaitu dari peranti pengguna sehingga platform peniaga, bahkan di pintu gerbang pembayaran.

"Ancaman yang paling lazim termasuk serangan pancingan data, perisian hasad dan penipuan kejuruteraan sosial apabila penyerang memanipulasi pengguna untuk memberikan akses tanpa disedari kepada maklumat kewangan mereka," katanya.

Bagi tujuan itu, Peerapong menasihatkan pengguna untuk mengaktifkan MFA bagi semua akaun perbankan digital serta e-dompet manakala urus niaga hanya perlu dilakukan di platform yang selamat dan sah.

"Cari ikon kunci di bar alamat pelayar dan pastikan URL (penunjuk sumber seragam) bermula dengan 'https://'. Elakkan mengklik pautan dalam mesej yang tidak diminta yang mendakwa berasal dari bank atau penyedia pembayaran.

"Bagi perniagaan, menggunakan sistem pengesanan penipuan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dapat membantu memantau urus niaga masa nyata selain dapat menandakan aktiviti mencurigakan.

"Memperkukuh keselamatan titik akhir, keselamatan awan dan kawalan akses juga penting untuk melindungi data pelanggan daripada ancaman siber," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan