SIBU, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Bintulu merampas barangan bernilai RM420,741 dalam 29 kes pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan di premis perniagaan di bandar Bintulu dari Januari hingga semalam.
Ketua Cawangan KPDN Bintulu Al Redzamani Abdul Razak berkata sepanjang tempoh itu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 2,730 premis perniagaan di kawasan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan dan serbuan ini membawa kepada pengesanan pelbagai kesalahan berkaitan perihal dagangan dan kepenggunaan, dengan jumlah kompaun yang dikenakan sebanyak RM3,800," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata KPDN komited memastikan pematuhan undang-undang, terutama sepanjang tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025, yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula pada hari ini.
Al Redzamani berkata sebanyak 22 barangan disenaraikan sebagai barangan harga terkawal sepanjang SHMMP, merangkumi tempoh tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan, dan tujuh hari selepasnya.
Antara barangan berkenaan ialah daging lembu import, ikan kembung, ikan selayang, kubis bulat import, sawi hijau, timun, tomato, cili merah, kacang panjang, lobak merah, bawang kuning besar, bawang merah besar import, bawang merah kecil India (ROS), serta bawang putih dari China.
Turut tersenarai ialah ubi kentang import dari China, halia tua import, kacang tanah, cili kering kerinting, kelapa biji, kelapa parut, dan santan, yang dikawal harganya pada peringkat runcit.
Sehubungan dengan itu, Al Redzamani mengingatkan para peniaga di Bintulu termasuk di Sebauh dan Tatau, agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan tidak menaikkan harga barangan terkawal sewenang-wenangnya.
"Mana-mana peniaga yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipecatutan 2011," katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan berkaitan harga barangan melalui WhatsApp (019-8488000), e-mel (eaduan@kpdn.gov.my), Pusat Panggilan (1-800-886-800), atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial