KUANTAN, 31 Mac (Bernama) -- Seorang pemandu lori direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dalam kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di Kilometer 50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Kuantan semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata lelaki berusia 52 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong petang semalam.
“Pemandu terbabit mempunyai empat rekod saman lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan tiga individu maut manakala empat lagi cedera dalam nahas yang melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah lori, Honda Accord, Proton Waja, Proton Saga dan kereta Subaru.
Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Honda Accord iaitu seorang lelaki Wong Kean Yeap, 29, dan kakaknya Wong Hwee Moon,34, serta ibu mereka Lee Lai Cheng, 61, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tiga lagi penumpang kereta berkenaan iaitu lelaki warga tempatan berusia 33 tahun, dua kanak-kanak masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia lima serta tiga tahun cedera dalam kemalangan itu dan dibawa ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan.
Turut tercedera ialah kelindan lori berusia 29 tahun, manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain terselamat.
Zaiham memaklumkan punca kematian ketiga-tiga mangsa disebabkan kecederaan otak traumatik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial