WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BAYARAN DAM, KORBAN TANAH SUCI DITETAPKAN RM875 BAGI SEEKOR KIBAS - TH

28/03/2025 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Kadar bayaran dam dan penyertaan korban di Tanah Suci bagi musim haji 1446H/2025M adalah sebanyak RM875 untuk seekor kibas, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

Syed Hamadah dalam kenyataan hari ini berkata bakal jemaah haji bagi musim tahun ini boleh membuat pembayaran dam melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter pejabat cawangan TH seluruh negara sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Beliau berkata penyertaan korban di Tanah Suci pula adalah terbuka kepada semua pendeposit TH.

“TH terus menyediakan perkhidmatan bayaran dam buat bakal jemaah haji bagi musim haji tahun ini dan  (perkhidmatan bayaran) bermula hari ini (28 Mac) hingga 3 Julai 2025.

“Pembayaran penyertaan korban di Tanah Suci boleh dibuat oleh semua pendeposit TH bermula hari ini (28 Mac) hingga 31 Mei 2025,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tahun ini TH bekerjasama dengan The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) yang juga pembekal haiwan sembelihan diiktiraf kerajaan Arab Saudi bagi urusan dam dan korban.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH, bakal haji yang melaksanakan ibadah haji tamatuk dan qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa sebelum tiba di Tanah Suci kerana lebih mudah.

“TH turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam dan korban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan