WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OP SELAMAT 24: POLIS PERLIS LAKSANA PEMANTAUAN RAPI DI KAWASAN KEMALANGAN

29/03/2025 10:40 AM

KANGAR, 29 Mac (Bernama) -- Polis Perlis akan melaksanakan pemantauan rapi di 12 lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan dalam Op Selamat 24 yang bermula hari ini hingga 3 April,  bersempena Aidilfitri.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata keselamatan pengguna jalan raya menjadi keutamaan, terutamanya penunggang motosikal yang juga kumpulan paling berisiko mengalami kecederaan parah dan maut sekiranya terlibat dalam kemalangan.

"Polis Perlis turut mengingatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan, mematuhi undang-undang lalu lintas dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

"Marilah kita sambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan tanpa sebarang tragedi. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pengguna jalan raya serta pegawai dan anggota JSPT (Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) yang bertugas sepanjang perayaan ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas pelancaran Op Selamat 24 peringkat negeri yang disempurnakan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli di Jalan Kuala Perlis dekat sini petang semalam.

Sementara itu, Muhammad berkata pihaknya juga melaksanakan Op Lancar selama 15 hari bermula 23 Mac lepas bagi menangani kesesakan lalu lintas, terutamanya di jalan-jalan utama di Perlis yang dijangkakan sesak dengan kepulangan perantau.         

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan