KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Perikatan Komuniti Selamat menyeru pemandu, penunggang motosikal dan pejalan kaki mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden untuk memastikan semua pengguna jalan raya selamat tiba ke destinasi sepanjang musim perayaan ini.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata menjelang ketibaan Aidilfitri, lebih dua juta pengguna jalan raya dijangka melakukan perjalanan untuk bersama keluarga tersayang.
"Musim perayaan ini sememangnya membawa kegembiraan yang juga menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan di jalan raya sekali gus menimbulkan banyak kebimbangan mengenai keselamatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Lee menggesa pengguna jalan raya mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk merancang perjalanan bagi mengelakkan waktu puncak yang boleh membantu mengurangkan kesesakan dan keletihan.
“Periksa kenderaan anda (tayar, brek, lampu) sebelum bertolak. Gunakan tali pinggang keledar dan pastikan keselamatan kanak-kanak,” tambahnya.
Lee merangkap Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya juga menyentuh mengenai kepentingan sentiasa berwaspada di jalan raya, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu serta berehat setiap dua jam bagi mengelakkan keletihan.
“Berikan tumpuan sepenuhnya ketika memandu. Memandu laju, menukar lorong secara tiba-tiba dan mengekori kenderaan lain terlalu rapat adalah punca utama kemalangan,” katanya.
Beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang trafik, patuhi had laju dan papan tanda serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Penunggang motosikal, perlu memakai topi keledar dan pakaian yang berwarna cerah untuk mudah dilihat.
Lee berkata memandangkan lalu lintas dijangka sesak sepanjang musim perayaan, sentisa bersabar dan bertimbang rasa ketika berada di jalan raya.
“Pada musim perayaan ini, marilah kita jadikan keselamatan jalan raya sebagai tanggungjawab bersama. Kecuaian walaupun sesaat boleh membawa penyesalan sepanjang hayat. Selamat hari raya dan semoga selamat tiba ke kampung halaman untuk meraikan hari raya bersama keluarga dan sahabat handai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial