Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 29 Mac (Bernama) -- Ribuan rakyat Indonesia yang mencari rezeki di negara ini pulang menyambut Aidilfitri ke kampung halaman mereka, menggunakan feri.
Tinjauan Bernama pada 1 tengah hari tadi mendapati Terminal Feri Antarabangsa Stulang, di sini, yang sering menjadi tumpuan, sesak dengan orang ramai yang kebanyakannya hendak mendapatkan tiket ke Tanjung Pinang dan Pulau Bintan.
Mohd Yusof Mosman, 40, berkata dia dan isteri serta empat anak kali ini pulang beraya selama seminggu di Tanjung Pinang.
Pemandu lori yang mencari rezeki di Johor lebih 10 tahun itu, memilih untuk membeli tiket di kaunter memandangkan platform dalam talian sudah habis terjual.
“Kami dari pagi tunggu untuk beli tiket di kaunter, Alhamdulillah dipermudah dan dapat pulang petang ini.
“Perjalanan ke sana makan masa lebih tiga jam, memang kami semua sangat teruja sebab sudah lebih 10 tahun tidak pulang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Sofiam Ghani Muchni, 43, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata sudah menjadi kebiasaan dia bersama isteri pulang ke Tanjung Pinang menerusi terminal feri itu.
Dia yang bekerja di sebuah hotel sejak 24 tahun lepas berkata harga tiket juga kekal iaitu RM153 sehala bagi dewasa dan kanak-kanak RM118.
“Kami teruja untuk pulang ke kampung tahun ini, walaupun terminal agak sesak tetapi ini yang membuatkan perayaan ini meriah.
“Memang rasa tidak sabar untuk sambut di sana dan beri ole-ole yang telah dibawa dari Malaysia untuk keluarga,” katanya.
Berbeza dengan pekerja kontraktor, Agus Rosmin, 32, yang pulang ke kampung seorang diri memandangkan isteri dan dua anak menetap di Pulau Bintan.
“Saya sudah kerja di Selangor selama lapan tahun, memang selalu balik raya sendiri. Perasaan seronok memang tidak terkata.
“... sebab saya mencari rezeki di Malaysia tanpa ditemani keluarga, hanya kawan-kawan sahaja, jadi menjelang raya memang perasaan itu lain sebab kampung jauh,” katanya.
Beliau berkata harga tiket sehala untuk ke sana berharga RM183 dan perjalanan memakan masa lebih dua jam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial