Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 29 Mac (Bernama) -- “Saya berharap dan berdoa agar suami saya serta lima lagi rakan keluarga dapat keluar dengan selamat,” kata Narvemol Thonglek, isteri kepada seorang daripada mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Chatuchak pada Jumaat.
Dalam keadaan sebak, Narvemol, 43, dari Bangkok mengenang perbualan terakhirnya dengan suami, Kyi Than, 45, dari Myanmar, pada awal pagi sebelum kejadian berlaku.
“Kami sering berhubung, dan dia memberitahu bahawa pasukannya sedang bekerja di tingkat 26 bangunan itu. Namun, pada sebelah petang, saya melihat berita bahawa bangunan yang sedang dalam pembinaan itu telah runtuh.
Saya cuba menghubungi Kyi dan lima rakan keluarga lain yang bekerja di tapak berkenaan, tetapi gagal,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Sabtu.
Narvemol masih menggenggam harapan bahawa insan tersayangnya, yang berada di tapak pembinaan ketika bangunan itu runtuh, dapat dijumpai dalam keadaan masih hidup.
“Apa pun yang berlaku, saya tetap ingin melihat mereka semua. Saya akan terus berdoa untuk keselamatan mereka dan percaya kepada keajaiban,” katanya yang berada di lokasi kejadian sejak awal pagi Sabtu.
Pada pagi Sabtu, ratusan anggota penyelamat dilihat bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat di tapak runtuhan bangunan pencakar langit 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan di ibu negara Thailand itu.
Pada Jumaat, tapak pembinaan bangunan baharu kerajaan itu runtuh selepas gempa bumi kuat melanda Myanmar dan turut dirasai di Bangkok pada sebelah petang.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) melaporkan pada Jumaat malam bahawa tujuh individu disahkan maut di tapak pembinaan, manakala lebih 100 pekerja masih hilang.
Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) dalam kenyataan memaklumkan bahawa unit kecemasan BMA, anggota tentera, polis, sukarelawan dan agensi berkaitan giat membantu mereka yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Perdana Menteri Thailand turut mengarahkan Pusat Kawalan Nasional bagi Pencegahan dan Pengurangan Bencana memantau gegaran susulan serta mengarahkan Pusat Pencegahan dan Pengurangan Bencana Wilayah 1 hingga 18 untuk bersiap sedia dengan jentera tindak balas bencana bagi membantu kawasan terjejas dan memberikan bantuan segera kepada penduduk yang terkesan.
“Ketua Pengarah DDPM telah mengarahkan pusat kawalan insiden di peringkat wilayah untuk memantau situasi, menilai kesan potensi, memberikan maklumat jelas kepada orang ramai bagi mengelakkan panik serta mendidik mereka mengenai langkah keselamatan dan bantuan kerajaan yang ada.
Tinjauan kerosakan dan usaha bantuan sedang dilaksanakan mengikut garis panduan serta peraturan rasmi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Pusat Kawalan Nasional bagi Pencegahan dan Pengurangan Bencana telah meningkatkan operasi pengurusan bencana ke tahap tindak balas bencana utama (Tahap 3) selaras dengan Pelan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Nasional (2021–2030).
“Langkah ini bagi memastikan satu tindak balas bersepadu dan koordinasi antara semua agensi yang terlibat dalam membantu penduduk terjejas, dengan Menteri Dalam Negeri bertindak sebagai komander.
“DDPM telah mengerahkan 18 anggota pasukan Mencari dan Menyelamat di Kawasan Bandar (USAR), bersama lebih 14 jenis peralatan dan jentera tindak balas bencana daripada Pusat Pencegahan dan Pengurangan Bencana Wilayah di Pathum Thani (Wilayah 1), Suphan Buri (Wilayah 2), Prachin Buri (Wilayah 3) dan Chai Nat (Wilayah 16). Mereka menyokong operasi menyelamat di Bangkok,” menurut kenyataan itu.
Dilaporkan bahawa Sistem Transit Massa Bangkok (BTS) dan Transit Pantas Metropolitan (MRT) telah kembali beroperasi pada awal pagi Sabtu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial