Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Keputusan pantas Malaysia menghantar pasukan kemanusiaan ke Myanmar menegaskan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan menjadi contoh tepat terhadap komitmen blok itu dalam melindungi keselamatan insan di tengah-tengah krisis akibat gempa bumi kuat yang melanda negara itu.
Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Collins Chong Yew Keat, berkata langkah Malaysia mencerminkan kepimpinan yang diperlukan ASEAN pada saat genting yang menuntut solidariti dan tindakan segera .
“Usaha penyelarasan awal dan kepimpinan yang ditunjukkan dalam konteks ASEAN serta perpaduan dalam penyampaian bantuan kolektif dilihat sebagai langkah dan kepimpinan yang diperlukan sebagai Pengerusi ASEAN. Ini juga berfungsi sebagai mesej muhibah kepada kepimpinan junta Myanmar serta dorongan baharu untuk menunjukkan kesungguhan dan kesiapsiagaan ASEAN dalam menyokong Myanmar pada saat ini,” katanya kepada Bernama.
Chong berkata penghantaran pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan strategi koordinasi kolektif ASEAN bukan sekadar bersifat taktikal, tetapi membawa kepentingan jangka panjang.
“Walaupun ASEAN secara konsisten mengambil pendirian tegas terhadap konflik di Myanmar dan mendesak junta untuk mengubah haluannya, ASEAN sentiasa bersedia membantu dan Malaysia khususnya sentiasa menyokong rakyat serta masyarakat Myanmar,” katanya.
Menurut pasukan penerangan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, gempa bumi itu telah meragut 1,002 nyawa, mencederakan 2,376 individu serta menyebabkan 30 orang masih hilang.
Banyak bangunan mengalami kerosakan dan operasi menyelamat sedang dijalankan, menurut laporan media antarabangsa.
Pada peringkat serantau, Chong berkata respons kemanusiaan berterusan terhadap gempa bumi Myanmar mencerminkan keseimbangan yang cuba dicapai oleh negara anggota ASEAN, apabila setiap negara menyesuaikan kepentingan dasar luar masing-masing sambil berusaha mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau ini.
Beliau berkata ikrar bantuan kemanusiaan oleh Malaysia, Indonesia dan Singapura setakat ini menggambarkan keseimbangan dalam usaha memastikan keamanan terpelihara serta kesan bencana dapat dikawal.
“Ini menunjukkan bahawa setiap negara ASEAN mempunyai pertimbangan dan kepentingan dasar luar tersendiri dalam mencapai pulangan terbaik, bukan hanya untuk negara masing-masing tetapi juga bagi ASEAN secara keseluruhan, dengan matlamat untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serta mengawal sebarang kesan bencana,” katanya.
Chong turut menyatakan bahawa tindakan Malaysia mengukuhkan pendirian seimbang ASEAN terhadap Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, dengan terus menegakkan komitmen blok itu terhadap hak asasi manusia dan keselamatan insan, walaupun berpegang pada prinsip tidak campur tangan.
Beliau berkata bencana ini boleh membuka peluang untuk menghidupkan semula proses damai yang tertangguh serta mewujudkan kerjasama praktikal.
“Hal ini dilakukan menerusi keseimbangan dasar yang teliti, dan meskipun Konsensus Lima Perkara tidak menunjukkan kemajuan selama bertahun-tahun, ASEAN tidak akan berputus asa dalam usaha menstabilkan situasi di Myanmar.
“Bencana ini boleh membuka ruang baharu untuk rundingan dalam suasana yang lebih membantu, dan tekanan kini terletak pada junta untuk menunjukkan keterbukaan, mengamalkan kawalan diri serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mencari dan menyelamat,” katanya.
Malaysia, Indonesia dan Singapura telah menzahirkan komitmen mereka, dengan Malaysia akan menghantar pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) seramai 50 anggota menerusi NADMA ke Yangon pada Ahad.
Singapura bersedia menghantar Kontinjen Operasi Lionheart untuk operasi mencari dan menyelamat serta bantuan bencana, manakala Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan kesediaan negaranya membantu usaha pemulihan di Myanmar dan Thailand.
Sementara itu, menteri-menteri luar ASEAN dalam kenyataan terbaharu mereka menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa serta masyarakat yang terkesan akibat gempa bumi di Myanmar dan Thailand, serta menegaskan kesediaan blok itu untuk menggerakkan bantuan kemanusiaan, termasuk Pasukan Respons Kecemasan dan Penilaian ASEAN (ERAT), Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) dan pasukan Mencari dan Menyelamat Bandar (USAR).
“ASEAN menegaskan solidaritinya dan akan bekerjasama rapat dalam menyelaras bantuan kemanusiaan, menyokong serta memudahkan operasi bantuan, dan memastikan respons kemanusiaan yang tepat pada masanya dan berkesan dengan bantuan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre),” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial